Lima tahun ‘berebut’ buah dengan kera, monyet

Lima tahun ‘berebut’ buah dengan kera, monyet

SEBUAH perangkap yang dipasang penduduk untuk menangkap kera dan monyet di Kampung Dadong, Air Putih, Kemaman. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Penduduk di sekitar Kampung Dadong, Air Putih dekat sini sudah lali dengan gangguan kera dan monyet yang berlarutan sejak lebih lima tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut mereka, haiwan liar itu semakin banyak dan ke­rap berkeliaran terutama pada musim buah-buahan.

Ramli Ismail, 66, berkata, haiwan liar itu kini semakin tidak terkawal apabila sering masuk ke dapur rumahnya untuk mencuri makanan.

“Bukan hanya telur, malah mi segera turut dicuri. Kadangkala bimbang kalau nak tinggalkan isteri berseorangan di rumah.

“Saya sering tutup pintu rumah sebab takut kera masuk. Biasanya bukan seekor kera yang masuk dalam rumah tapi lebih lima ekor. Memang kami sangat bimbang kalau-kalau haiwan itu bertindak agresif,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 tengah hari pada Jumaat lalu, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dadong, Mohd. Daynail Haikal Alias, 13, pengsan dan mulutnya mengeluarkan buih selepas termakan biskut dipercayai dicemari racun.

Mohd. Daynail Haikal mengambil dan memakan biskut yang digantung di pagar sebuah kebun ketika melalui kawasan itu untuk memancing bersama rakannya.

Ramli berkata, meskipun perangkap pernah dipasang di kawasan itu, namun haiwan liar itu tidak mudah ditangkap.

“Kalau musim buah-buahan, memang boleh dikatakan kami seolah-olah ‘berebut’ dengan kera untuk menikmati buah. Kami kena selalu perhatikan kalau-kalau kera serang pokok,” katanya.

Sulaiha Ali, 56, pula membe­ritahu, dia juga sering berjaga-jaga dan sentiasa memastikan cucunya berada dalam pengawasan sekiranya bermain di luar rumah.

“Bukan seekor monyet dan kera yang ganggu kawasan kampung tapi jumlahnya memang banyak hingga menyebabkan kami takut keluar rumah.

“Saya memang sentiasa jaga cucu dan sering tutup pintu rumah. Kalau pintu dapur terbuka, memang haiwan liar itu masuk cari makanan,” katanya.

Sulaiha berkata, dia sering menggunakan mercun untuk menghalau haiwan liar tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN