PETALING JAYA: Kertas siasatan kes seorang pelakon didakwa menumbuk teman wanitanya dalam kejadian di Ara Damansara, di sini telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kertas siasatan itu telah dikemukakan pada Jumaat lalu.
“Kita sudah merekod keterangan pelakon terbabit selain mangsa serta kakaknya.
“Setakat ini kita masih menunggu arahan daripada pihak DPP untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Minggu lalu, Shahrulnizam mengesahkan telah merekod keterangan pelakon terbabit pada 10 Julai lalu.
Ini susulan laporan diterima daripada seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara di sini kira-kira pukul 3 pagi pada 7 Julai lalu.
Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya.
Teman lelaki mangsa kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.
Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya itu sebelum memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan.- UTUSAN








