BANGKOK: Polis Thailand menyiasat kematian enam warga asing yang ditemukan mati dalam bilik di sebuah hotel mewah di Bangkok, semalam.
Kesemua mangsa adalah berketurunan Vietnam, termasuk dua warga Amerika.
Pegawai polis, Thiti Saengsawang berkata, mangsa mendaftar masuk ke hotel Grand Hyatt Erawan di Bangkok pada dua waktu berasingan selepas tiba pada Sabtu dan Ahad lalu.
Kumpulan itu – tiga lelaki dan tiga wanita – mendaftar masuk ke bilik berbeza tetapi mayat mereka ditemukan dalam satu bilik dan tidak menunjukkan sebarang tanda pergelutan.
Ketua Penyiasat Biro Polis Metropolitan, Mejar Jeneral Theeradej Thumsuthee berkata, pemeriksaan awal mengesyaki mangsa diracun kerana tiada bukti bukti kecederaan berkaitan pergaduhan atau kecurian.
Beliau berkata, terdapat tanda semua mangsa, sebelum meninggal dunia, minum kopi atau teh.
“Kita perlu mengetahui motifnya. Apa yang boleh dibuktikan sekarang, kematian mereka bukan akibat bunuh diri tetapi dibunuh orang lain,” katanya kepada pemberita.
Setakat ini, polis memanggil pemandu pelancong untuk disoal siasat.
Terdahulu, polis menerima panggilan daripada kakitangan Grand Hyatt kira-kira pukul 5.30 petang (waktu tempatan) yang melaporkan terdapat kematian di bilik hotel itu.
Thiti berkata, kumpulan pelancong itu dikesan gagal mendaftar keluar hotel pada petangnya, sebelum kakitangan pembersihan menemukan mayat mereka ketika tiba untuk mengemas bilik di tingkat lima.
Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin sempat melawat tempat kejadian dan mengarahkan siasatan segera dilakukan.
Dalam sidang media di hotel itu, beliau menolak khabar angin kematian warga asing terbabit ada kaitan dengan kecurian, dan menegaskan bedah siasat perlu dijalankan.
“Mereka disyaki sudah mati kira-kira 24 jam. Daripada pemerhatian awal di lokasi kejadian, tiada sebarang kesan samun dan keganasan,” katanya.
Di Washington, jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa, dan memaklumkan pihaknya memantau teliti keadaan serta bersedia memberikan bantuan.
Sementara itu, Kedutaan Vietnam di Bangkok belum memberikan maklum balas.- REUTERS










