KUALA KRAI: Perkhidmatan feri yang menjadi nadi utama pengangkutan penduduk Pasir Kelang di sini tetap beroperasi seperti biasa meskipun Sungai Kelantan yang merentangi kawasan itu cetek.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, kelindan feri, Samsuddin Abdullah, 53, berkata, sepanjang musim kemarau, perkhidmatan feri beroperasi setiap hari dan menjadi pengangkutan penting kepada pendudk enam kampung untuk menyeberangi Sungai Kelantan berulang-alik ke bandar.
Menurutnya, perkhidmatan yang bermula pukul 7 pagi hingga pukul 11 malam itu menjadi pilihan penduduk Kampung Pasir Kelang, Kampung Pasir Kelang Baru, Kampung Buyong Darul Hijrah, Kampung Sungai Taku, Kampung Taku Estet dan Kampung Bahagia.
“Pada musim kemarau baru-baru ini, paras air Sungai Kelantan sedikit menyusut, namun ia tidak menjejaskan perkhidmatan feri dan masih boleh beroperasi.
“Hal ini kerana beting pasir sedia ada telah dibawa arus deras ketika musim banjir hujung tahun lalu dan menyebabkan paras air di sini lebih dalam,” katanya ketika ditemui, semalam.
Media sebelum ini melaporkan paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai menyusut hingga menampakkan beting pasir seluas padang bola di tengah-tengah sungai berkenaan berikutan musim kemarau.
Beting pasir berkenaan semakin jelas kelihatan dari hari ke hari malah berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, air sungai di kawasan itu berada di paras 15.67 meter berbanding paras normal, 17 meter.
Dalam pada itu, Samsuddin berkata, tambang yang dikenakan untuk perkhidmatan feri setakat ini masih kekal seperti biasa meskipun harga diesel mengalami kenaikan.
“Tambang yang dikenakan adalah RM1 bagi setiap individu, motosikal RM2 dan kereta antara RM5 atau lebih bergantung kepada jenis kenderaan dan muatan barang.
“Perkhidmatan feri ini tetap menjadi pilihan penduduk untuk menyeberangi sungai disebabkan masa yang diambil lebih singkat iaitu hanya lima minit berbanding menggunakan jalan darat untuk ke bandar Kuala Krai atau Tanah Merah,”katanya. – UTUSAN











