PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan komited merundingkan kadar pemberian khas baharu yang lebih tinggi kepada kerajaan negeri Sabah selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63) bagaimanapun akan mengambil kira kos perkhidmatan negeri dan kemampuan kewangan semasa Kerajaan Persekutuan.
Katanya, selaras peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan dan Sabah telah bersama menyemak dan berunding bagi mengkaji semula kadar itu sebelum ini.
“Hasilnya, satu kadar baharu dipersetujui pada 2022 iaitu sebanyak RM125.6 juta yang dikuatkuasa melalui pewartaan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2022 [P.U.(A) 119/2022] bertarikh 20 April 2022 bagi tempoh lima tahun.
“Pewartaan P.U.(A) 119/2022 menggantikan kadar pemberian lama yang berjumlah RM26.7 juta yang diwarta pada 18 September 1970 seperti diperuntukkan dalam Perintah Pemberian Khas Sabah (Ulangkaji Pertama) 1970 [P.U.(A) 328/1970],” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Kementerian Kewangan menjawab soalan Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) mengenai peningkatan kadar pemberian khas bagi Sabah.
Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan dalam kenyataan sama meyebut, kadar amaun pemberian khas baharu untuk Sabah dinaikkan kepada RM300 juta bagi 2023 melalui pewartaan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2023 [P.U.(A) 364/2024] pada 24 November 2023.
“Pembayaran keseluruhan pemberian khas pada 2023 telah disempurnakan melalui penyaluran kepada Sabah pada 28 Nov 2023,” katanya.
Pada 4 Disember tahun lalu, Ahli Dewan Negara, Senator Tan Sri Anifah Aman menggesa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah mencari jalan penyelesaian bagi memastikan jumlah pemberian khas untuk negeri itu adalah selaras dengan kadar 40 peratus hasil negeri dikutip kerajaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Menteri Luar itu berkata, pengumuman RM300 juta pemberian khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Sabah dan diwarta pada 24 November lalu masih belum mencapai kadar 40 peratus daripada hasil negeri itu. – UTUSAN











