Pemandu lori warga Thailand tidak mengaku seleweng diesel - Utusan Malaysia

Pemandu lori warga Thailand tidak mengaku seleweng diesel

TERTUDUH, Witthaya Choochien dikawal pegawai KPDN selepas didakwa menyeleweng diesel di Mahkamah Sesyen, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pemandu lori warga Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeleweng sejumlah minyak diesel, minggu lalu.

Tertuduh, Witthaya Choochien, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Thai di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki barang kawalan iaitu sebanyak 322 liter minyak diesel tanpa lesen di dalam tangki tambahan sebuah motolori bernombor pendaftaran Thailand.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada pukul 6.05 pagi, 11 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Siti Nurdinasafira Mohd. Sakri memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua orang penjamin warga Malaysia.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lim Wei Yong yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum memandangkan anak guamnya perlu menyara seorang isteri dan dua anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Noor Zaihan menetapkan 9 September ini sebagai tarikh serahan laporan kimia. Tertuduh didapati membayar jaminan tersebut. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini