PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Janna Nick terpaksa menutup sementara akuan media sosialnya terutama Instagram sebagai cara paling ‘sihat’ untuk menjaga kondisi mentalnya apabila dibuli secara siber.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Janna berkata, segelintir warganet menganggap kecaman, kritikan negatif dan hamburan kata-kata hinaan hanya satu ‘gurauan’ malah ada yang berbangga melakukan perkara tersebut di media sosial.
“Saya tidak mahu tertekan dan terlalu memikirkan kecaman yang dilemparkan oleh segelintir pihak. Saya juga sudah beberapa kali berdepan isu buli siber ini dan cara paling sihat adalah, tutup akaun.
“Paling penting adalah menjaga kesihatan mental kerana bila kita berdepan situasi tersebut, kita akan dipengaruhi oleh pemikiran hasil daripada pembacaan kecaman, kritikan dan hinaan segelintir netizen.
“Kita manusia biasa, tak akan boleh lari daripada perasaan berkecil hati dan kecewa. Tetapi apa yang buat adalah larikan diri sebentar daripada media sosial. Alhamdulillah, saya dikelilingi mereka yang positif dan mengambil berat,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kira-kira 16.4 juta orang atau 57.5 peratus penduduk Malaysia yang menggunakan media sosial untuk mengisi masa lapang, terdedah melakukan perbuatan buli siber sama ada secara langsung atau sebaliknya.
Berdasarkan laporan Digital Global 2024, sebanyak 28.68 juta orang atau 83.1 peratus daripada penduduk Malaysia mempunyai akaun media sosial.
Dalam pada itu, Janna yang sebelum ini pernah mendedahkan menghidap masalah bipolar berhadap agar semua pihak tidak mengambil ringan isu buli siber dan bertanggungjawab untuk melestarikan kehidupan positif.
“Ada yang anggap gurauan, jenaka bukan sesuatu yang mengaibkan. Tetapi penerimaan setiap orang itu berbeza. Ada yang mengambil serius sehingga mula berfikiran untuk mencederakan diri.
“Media sosial seharusnya dilihat dari sudut pandang positif dan tidak digunakan sebagai medan mengaibkan apatah lagi mengecam individu tertentu. Sebagai selebriti, saya juga berhati-hati sebelum memuat naik sesuatu,” katanya. – UTUSAN










