KEMAMAN: Siasatan awal polis menemukan
kesan dipercayai gigitan pada tangan kanan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya, di Jalan Jabur Kubur, Chukai.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, selain kanak-kanak perempuan itu, abang mangsa yang berusia tujuh tahun dipercayai turut didera selepas pemeriksaan polis menemui kesan kecederaan pada beberapa anggota badan kedua-dua mangsa.
“Siasatan awal kita ada terlihat kesan dipercayai gigitan pada tangan kanan mangsa perempuan, namun kita sedang kenal pasti.
“Selain itu, terdapat juga beberapa kecederaan lain pada anggota badan kedua-dua mangsa yang kita percaya mereka telah didera,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, hari ini.
Terdahulu, pasangan suami isteri yang berusia 30 dan 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam pada Sabtu dan direman selama enam hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek ditahan selepas pihak polis menerima laporan daripada orang awam yang mendakwa terlihat salah seorang mangsa disepak dan ditampar di pipi berulang kali di kawasan rumahnya, pada petang Sabtu.
Hanyan berkata, mangsa merupakan anak pertama dan kedua perkahwinan terdahulu wanita itu bersama lelaki lain.
“Hasil perkahwinan kedua-dua suspek ini, mereka turut mempunyai dua orang anak berusia setahun dan sembilan bulan.
“Kita akan turut membawa kedua-dua bayi ini untuk pemeriksaan perubatan bagi melihat sama ada terdapat kecederaan sama seperti dua lagi mangsa.
“Setakat ini, kedua-dua bayi itu sedang dalam jagaan keluarga suspek manakala mangsa pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diserahkan kepada bapa kandung mereka untuk perlindungan,” katanya.
Menurut Hanyan, setakat ini, pihaknya telah merakam keterangan daripada tujuh individu bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. – UTUSAN










