KKDW perlukan kerjasama kerajaan Sabah, Sarawak atasi isu air - Utusan Malaysia

KKDW perlukan kerjasama kerajaan Sabah, Sarawak atasi isu air

RUBIAH Wang (kiri) meluangkan masa mengacau bubur asyura pada Majlis Perhimpunan KEDA di Kompleks KEDA, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keadaan geografi dan demografi penduduk Sabah dan Sarawak menjadi cabaran utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyelesaikan isu bekalan air di kedua-dua negeri itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, kerjasama semua diperlukan terutama kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi melaksanakan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

“Untuk melaksanakan projek BALB bukan mudah kerana melibatkan tanah kerajaan negeri, sumber air dan sebagainya yang di luar kawalan KKDW. Tiada guna buat paip tapi sumber air tiada. Kalau kerajaan negeri ada sistem pengurusan air yang baik, usaha KKDW dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) akan jadi lebih mudah.

“Sarawak mempunyai perancangan rapi, jadi projek bekalan air ini akan dapat dilaksanakan dengan baik dan impaknya lebih bagus kelak,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perhimpunan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kompleks KEDA, di sini hari ini.

Rubiah mengulas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 bahawa Projek BALB Sarawak dan Sabah tidak mencapai objektif yang ditetapkan ekoran gangguan bekalan air tidak ditangani dengan baik di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, kata Rubiah, KKDW mengalu-alukan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak bagi mencari langkah penyelesaian isu bekalan air di negeri berkenaan.

“Kementerian sentiasa bersedia untuk membuat rundingan dan perbincangan dengan agensi lain terutama bersama Petra yang menguruskan air negara dan KKDW di luar bandar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rubiah berkata, KEDA memperuntukkan RM3.37 juta pada tahun ini dalam membantu memastikan keterjaminan makanan di Kedah iaitu RM2.12 juta bagi Projek Pertanian Petani Luar Bandar (PPLB), manakala bakinya untuk projek pembangunan sawah.

“Sasaran bagi projek PPLB adalah 115 usahawan tani dengan keluasan 71 hektar untuk membantu peserta pertanian meningkatkan pendapatan selain meningkatkan pengeluaran makanan dan mengurangkan import.

“Kita bantu dengan memberikan input pertanian, peralatan, mesin pertanian dan industri asas tani. Kita juga membaik pulih dan menaik taraf tanah terbiar serta memberi latihan, kursus dan promosi.

Ujar Rubiah, ketika ini terdapat 2,654 hektar tanah terbiar di Kedah yang tidak dimajukan dan dianggarkan sebanyak 2,000 hektar atau 85 peratus daripadanya adalah di dalam wilayah KEDA.

“Selain padi, ada peserta yang tanam nenas, durian, cili dan buah-buahan lain. Sejak 2014 hingga tahun lalu, KEDA telah mengusahakan 1,154 hektar tanah terbiar yang melibatkan seramai 1,772 penerima manfaat,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini