Bakal pengantin rompak kedai serbaneka dipenjara empat tahun, satu sebatan - Utusan Malaysia

Bakal pengantin rompak kedai serbaneka dipenjara empat tahun, satu sebatan

S. NERVIN RAO (tengah) dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini selepas mengaku bersalah merompak wang tunai dan dua tin minuman keras minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki yang bakal berkahwin bulan depan dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan merompak wang tunai dan dua tin minuman keras di sebuah kedai serbaneka, minggu lalu.

Tertuduh, S. Nervin Rao, 33, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh itu berjalan bermula dari tarikh ditangkap pada 11 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja di sebuah kedai cuci kereta itu didapati telah melakukan rompakan terhadap harta milik 7-Eleven Malaysia iaitu wang tunai berjumlah RM145 dan dua tin minuman keras.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di kaunter kedai serbaneka 24 jam itu di Jalan Bandar, Teluk Intan di dalam daerah Hilir Perak pada pukul 5.14 pagi, 9 Julai 2024.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman denda dan sebatan.

Sementara itu, dalam prosiding di Mahkamah Majistret, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dua tin minuman keras pada pukul 4.15 pagi di lokasi dan tarikh sama.

Tertuduh yang membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret T. Ashvinii kemudiannya dijatuhi hukuman penjara lima bulan dari tarikh jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Rishan Kumar dan Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK, Faustina Francis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×