GUA MUSANG: Seorang wanita warga emas maut manakala suaminya parah selepas kereta yang dinaiki dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 60 Jalan Gua Musang-Lojing di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu mangsa, Maznah Mat Nor, 63, dari Kampung Pangkal Meleret, Machang meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Sementara suami wanita berkenaan, Ariffin Mamat, 75, mengalami kecederaan dalaman pada perut dan seorang lagi pemandu Perodua Myvi berusia 44 tahun mengalami luka di bahagian tangan kanan dan kiri serta bahagian dahi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal semasa kejadian Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Lojing.
Katanya, setibanya sampai di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu suami mangsa melalui selekoh ke kanan jalan telah hilang kawalan.
“Kenderaan yang dipandu lelaki warga emas itu telah berpusing dan masuk ke laluan bertentangan lalu dilanggar oleh pemandu Myvi yang berada di laluan sah.
“Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan awal. Mangsa warga emas wanita disahkan meninggal dunia pada pada pukul 7.08 malam semasa menerima rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo membeitahu, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 013-3010408,” katanya.-UTUSAN











