SEREMBAN: Setiap kerajaan negeri perlu membantu dengan menyediakan kawasan sesuai bagi pembinaan pusat jagaan khusus untuk kanak-kanak autisme.
Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah Jacob berkata, ia sebagai langkah mengatasi bagi isu kekurangan kekurangan pusat jagaan autisme di negara ini khususnya untuk ibu bapa yang kurang berkemampuan.
“Memang berlaku kekurangan khususnya (pusat jagaan) autisme dan sindrom down jadi bagi saya setiap kerajaan negeri boleh menyediakan kawasan seluas sekurang-kurangnya 1.2 hektar, saya sedia mendapatkan dana untuk membina pusat-pusat ini yang lengkap dengan teknologi baharu.
“Memang ada pusat autisme di luar yang turut menyediakan terapi pertuturan tetapi mahal, ada ibu bapa yang mampu namun bagaimana ibu bapa yang tidak berkemampuan?
“Jadi kita kena sediakan, ia bukan tanggungjawab kerajaan sahaja malah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga perlu ambil bahagian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Aktiviti Pendidikan Khas Senawang (RAPKS) yang diuruskan oleh Pertubuhan Guru, Ibu Bapa dan Anak Berkeperluan Khas Negeri Sembilan (PGIBABKNS) di Taman Widuri Indah, Senawang di sini.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan mengenai isu kekurangan pusat jagaan autisme yang berlaku di seluruh negara.
Menerusi laporan itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahrudin berkata, penjagaan anak-anak autisme di luar bandar amat membimbangkan kerana kekurangan pendedahan dan kaedah sewajarnya.
Beliau justeru menyarankan lebih banyak pusat jagaan diwujudkan di kawasan luar bandar bagi membolehkan ibu bapa lebih cakna dengan keperluan kanak-kanak autisme.
Sementara itu, Isaiah yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) bersetuju supaya Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu diperkasakan lagi kewujudannya.
“PDK ini saya lihat ketika ini seperti ‘rojak’, pelatih-pelatihnya datang pelbagai, dalam keadaan (kekurangan) fizikal, penglihatan, pendengaran, sindrom down, autisme, semuanya berada dalam satu bumbung. Mereka hanya dilatih untuk menjaga diri mereka seharian, setakat itu sahaja.
“Itu tidak cukup, ia hanya asas sahaja, tetapi apa selepas itu? Oleh itu perlu ada perubahan dalam sistem pelaksanaan PDK, ia perlu ada modul yang mesti diikuti.
“Setiap PDK juga perlu mempunyai pengkhususan masing-masing kerana setiap anak-anak OKU ini berbeza termasuk minat mereka,” katanya.-UTUSAN.










