Beri peluang anak OKU berdikari - Utusan Malaysia

Beri peluang anak OKU berdikari

ISAIAH Jacob (kanan) melihat anak-anak OKU memasak dodol ketika beliau mengadakan lawatan ke Rumah Aktiviti Pendidikan Khas Senawang di Taman Widuri Indah, Senawang, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Golongan ibu bapa di negara ini yang mempunyai anak dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) perlu diberikan kesedaran untuk memastikan anak mereka dapat melalui proses hidup berdikari.

Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah Jacob berkata, beliau bersetuju dengan pandangan bahawa terdapat ibu bapa di negara ini yang tidak berani membenarkan anak-anak OKU mereka hidup berdikari dan situasi berkenaan jelasnya berbeza berbanding di luar negara.

“Di luar negara kesedaran ibu bapa berbeza, mereka memastikan anak OKU diberikan latihan. Tetapi di Malaysia ramai ibu bapa terlampau sayang, takut akan keselamatan dan kesihatan anak mereka jika keluar, mereka cenderung fikirkan hal itu.

“Tetapi mereka tidak melihat apa terjadi sekiranya mereka tiada suatu hari nanti, apa akan berlaku kepada anak-anak mereka?. Saya setuju tentang sayang tetapi perlu hadnya, tetapi apabila mereka tiada. siapa akan jaga anak mereka, kena berikan kesedaran kepada ibu bapa pentingnya masa depan anak mereka.

“Saya difahamkan, apabila anak-anak ini pergi ke Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), mereka boleh buat pelbagai perkara seperti mencuci pinggan mangkuk dan membersihkan diri namun apabila pulang ke rumah, mereka tidak dibenarkan buat itu semua tetapi ibu bapa yang buat, ini akan merosakkan anak-anak ini,” katanya.

Beliau yang juga seorang OKU berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Aktiviti Pendidikan Khas Senawang (RAPKS) yang diuruskan oleh Pertubuhan Guru, Ibu Bapa dan Anak Berkeperluan Khas Negeri Sembilan (PGIBABKNS) di Taman Widuri Indah, Senawang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim dan Pengerusi PGIBABKNS, Habsah Yusof.


ISAIAH Jacob (kanan) dan Noorzunita Begum ketika ditemui pemberita di Rumah Aktiviti Pendidikan Khas Senawang di Taman Widuri Indah, Senawang, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Dalam pada itu, bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai berkenaan OKU di negara ini, Isaiah berkata, beliau akan membawa cadangan ke Dewan Negara supaya masyarakat didedahkan dengan penggunaan bahasa isyarat.

“Kita perlu bermula dengan generasi baharu, di tingkatan satu, bagaimana kalau ada adik dalam kalangan OKU, bagaimana mahu jaga, bagaimana mahu uruskan. Adakan bahasa isyarat, semua pelajar belajar bahasa isyarat justeru boleh berkomunikasi dengan cepat jika berdepan OKU pendengaran dan percakapan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk membantu dengan menyediakan tapak tanah bagi pembinaan pusat jagaan khusus untuk anak-anak autism dan sindrom down terutama bagi membantu golongan ibu bapa kurang berkemampuan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×