PASIR PUTEH: Yayasan Bank Rakyat (YBR) tampil membantu pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang meraih 8A, 1B Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Raja Amirul Mukmin Raja Safari, 18, menyambung impiannya ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) 25 Ogos depan.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, sumbangan itu bagi meringankan perbelanjaan keluarga pelajar OKU itu ke Seri Iskandar, Perak untuk pendaftaran awal di universiti tersebut.
Menurutnya, sehubungan itu, YBR menyumbangkan wang tunai RM2,000 bagi menampung makan, minum dan perbelanjaan pada tarikh berkenaan sebelum pelajar itu mendapat tajaan penuh.
“Kami difahamkan Tabung Zakat UTP (TAZU) sedia menaja pengajian Raja Amirul. Jadi, sumbangan tunai YBR boleh digunakan untuk keperluan awal bersama sumbangan pihak lain yang prihatin membantu.
“YBR menunaikan tanggungjawab sosial dengan program ziarah, berkenalan dengan ahli keluarga dan menyampaikan motivasi untuk memberi semangat kepada pelajar berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah keluarga Raja Amirul Mukmin di Kampung Gong Manak, di sini semalam.
Syaiful Rizal memberitahu, Raja Amirul Mukmin perlu meneruskan pengajian tanpa memikirkan kekangan kewangan atau kemiskinan keluarga kerana pelbagai pihak akan tampil membantu.
Menurutnya, YBR sedia menghulurkan bantuan kepada Raja Amirul Mukmin sekiranya berdepan kekangan kewangan selepas ini.
Sementara itu, Raja Amirul Mukmin ketika ditemui berkata, keluarganya berterima kasih kepada semua pihak termasuk individu dermawan yang tampil membantu selepas berita kejayaannya dilaporkan oleh akhbar tempatan.
“Kehadiran rombongan YBR ke rumah kami amat dihargai. Banyak nasihat dan motivasi disampaikan Pengurus Besar YBR.
“Baru-baru ini, wakil UTP datang ziarah awal memberi penerangan berkait proses pendaftaran awal, khidmat kaunseling dan tajaan,” katanya.
Raja Amirul Mukmin berkata, keluarganya bercadang bertolak awal sehari sebelum bermulanya hari pendaftaran nanti iaitu 24 Ogos depan. – UTUSAN











