DUNIA perfileman Hollywood menyaksikan kemunculan pelakon kulit hitam yang memberi saingan secara sihat.
Menepati ciri tall, dark and handsome, pelakon-pelakon ini hadir dengan pakej lengkap, membuatkan mereka digilai wanita seluruh dunia.
Nama-nama besar seperti Michael B. Jordan, Idris Elba adalah antara yang menjadi buruan produser dan sutradara.
Berikut kami senaraikan lima aktor kulit hitam berpengaruh Hollywood.

MICHAEL B. JORDAN
Pelakon kelahiran California, Amerika Syarikat ini menonjol menerusi barisan filem pecah panggung antaranya Fruitvale, Station Creed dan Black Panther.
Tidak hanya memiliki wajah yang kacak, Jordan juga mempamerkan kebolehan dalam membawa pelbagai watak, daripada remaja bermasalah dalam filem Fruitvale kepada peninju hebat menerusi filem Creed.
Jejaka berketinggian 1.83 meter ini dianggap antara pelakon dalam generasinya yang paling menonjol dan berbakat.

IDRIS ELBA
Aktor kelahiran London, United Kingdom ini tidak perlu lagi diperkenalkan kerana namanya sudah pun kukuh menapak di Hollywood.
Namun apa yang dicapai Elba hari ini adalah hasil kerja keras tiga dekad beliau yang bermula dengan watak picisan dalam drama Crimewatch United Kingdom pada tahun 1994.
Aura dan karisma pelakon berusia 51 tahun ini melayakkan beliau memegang pelbagai peranan utama antaranya Heimdall dalam filem Thor dan Stringer Bell menerusi filem The Wire.

MICHAEL EALY
Memiliki sepasang mata biru antara senjata Michael Ealy yang mampu menjerat hati ramai wanita.
Namun pelakon berasal dari Maryland, Amerika Syarikat ini tidak bersandarkan rupa semata-mata.
Dia membuktikan bakat dan kebolehan lakonan merentasi pelbagai filem dan drama televisyen antaranya Barbershop, Think Like a Man dan drama bersiri, Almost Human.
Kebolehannya melakonkan pelbagai watak dengan bersahaja menjadikan beliau antara pelakon ‘muka depan’ paling laris di Hollywood.

OMARI HARDWICK
Pelakon Lelaki Terbaik NAACP tiga tahun berturut-turut ini dianggap pesaing hebat kepada pelakon-pelakon kulit hitam gred A di Hollywood.
Popularitinya melonjak apabila lakonannya menerusi drama Power meraih kritikan dan pelbagai reaksi penonton.
Omari berjaya mengekalkan kerjaya lakonan selama 20 tahun dengan pembabitan dalam filem pecah panggung seperti The A-Team dan For Colored Girls.

JESSE WILLIAMS
Watak Dr. Jackson Avery yang dibawa Williams menerusi drama Grey’s Anatomy melonjak popularitinya di mata umum.
Namun sebelum bergelar pelakon, beliau lebih dahulu membina kerjaya sebagai warga pendidik dan pernah mengajar bahasa Inggeris dan beberapa mata pelajaran lain di sebuah sekolah menengah dekat Philadelphia.
Bukan sahaja seorang pelakon berjaya, Williams juga dikenali sebagai aktivis sosial yang memperjuangkan kesamarataan kaum.









