KUANTAN: Petronas membuka stesen minyak terbaharu di KotaSAS di sini hari ini serentak sambutan ulang tahun tenaga global dinamik ke-50 di wilayah Pantai Timur.
Stesen minyak itu merupakan yang ke-76 beroperasi di Pahang sejak pembukaan stesen minyak Petronas pertama di negeri ini di Bandar Rompin, pada Januari 1984.
Ketua Bahagian Runcit-Bahan Api, Petronas Dagangan Berhad, Norazlan Subaha berkata, pembukaan stesen minyak ini menunjukkan usaha berterusan syarikat itu menawarkan khidmatnya di negeri ini selama 40 tahun.
“Stesen minyak Petronas KotaSAS terletak di lokasi strategik yang merupakan perbandaran bersepadu baharu di Kuantan.
“Ia bukan sahaja menawarkan kemudahan kepada kakitangan dan orang ramai yang berurusan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah, bahkan juga bakal menawarkan manfaat kepada penduduk yang tinggal sekitar Pusat Pentadbiran negeri Pahang yang baharu tersebut. Selain kedudukannya yang terletak di laluan utama jaringan perhubungan ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT), stesen minyak KotaSAS juga bakal menjadi persinggahan penting di Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya di KotaSAS di sini hari ini
Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, M. Ahmad Shazly Ramli berkata, pembukaan stesen terbaharu ini begitu signifikan kerana ia bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-50 Petronas, dan Kuantan merupakan destinasi obor yang pertama di wilayah Pantai Timur.
Obor yang dibawa oleh konvoi motosikal berkuasa tinggi itu seterusnya akan dibawa ke beberapa lokasi terpilih iaitu Marang, Kertih dan Batu Rakit di Terengganu.
Bermula di Melaka, obor itu dibawa menjelajah ke beberapa negeri di Semenanjung sebelum dijangka tiba di Menara Berkembar Petronas pada 17 Ogos sempena ulang tahun Petronas ke-50.
Obor ini merupakan antara dua yang dibawa menjelajah ke seluruh negara menerusi inisiatif “The Journey of the Twin Torches”, sebagai simbolik pencapaian dan pengukuhan semula komitmen Petronas dalam membina potensi masa depan industri dan negara. – UTUSAN











