BAGAN SERAI: Kecewa dengan kegiatan judi dalam talian (online) semakin berleluasa di Tanjung Piandang dekat sini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri membuat laporan polis supaya tindakan segera dapat diambil pihak berkuasa.
Menurut Abdul Yunus, banyak aduan diterimanya daripada penduduk di kawasannya berhubung aktiviti tersebut.
“Tujuan laporan dibuat supaya polis segera mengambil tindakan tegas dengan menyiasat dan menangkap dalang yang terlibat,” katanya selepas membuat laporan di ibu Pejabat Polis Daerah Kerian Bagan Serai di sini semalam.
Katanya, beberapa premis yang aktif menjalankan kegiatan itu kebanyakannya berselindung di sebalik perniagaan kedai pasar mini.
Menurutnya, premis terlibat beroperasi 24 jam dan ada juga yang berselindung di sebalik perniagaan lain bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kegiatan ini tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana ia memberi impak yang negatif kepada rakyat,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga perlu untuk membuat beberapa pindaan undang-undang bagi aktiviti perjudian khususnya perjudian dalam talian.










