KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Kerajaan Perpaduan takut mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana bimbang menghadapi kekalahan.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, oleh sebab itu mereka sanggup melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan walaupun ia bertentangan asas perjuangan pihak tersebut selama ini.
Katanya, jika kekosongan berlaku, parti Kerajaan Perpaduan bimbang untuk mengulangi drama kekalahan teruk seperti mana ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap minggu lalu.
“Walaupun mereka berkuasa, mereka sebenarnya lemah, amat lemah. Saya tidak pernah lihat dalam sejarah politik saya parti kerajaan boleh kalah dengan begitu teruk dalam sebuah pilihan raya kecil. Dengan segala kuasa yang ada pada mereka, aneh mereka kecundang sebegitu rupa.
“Kerana itulah mereka takut hendak mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu DUN yang disandang bekas ahli Bersatu berpaling tadah walaupun tindakan itu bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian katanya ketika berucap dalam Konvensyen Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal di Selayang di sini hari ini.
Tambah Muhyiddin, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) kini terus mendapat sokongan rakyat yang sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan pada hari ini.
Katanya, data menunjukkan sokongan rakyat kepada gabungan parti itu semakin kuat menerusi peningkatan undi dalam pilihan raya negeri (PRN) dan beberapa siri PRK selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.










