Pengundi Nenggiri mahu orang muda jadi wakil rakyat

Pengundi Nenggiri mahu orang muda jadi wakil rakyat

PEMIMPIN muda dilihat mampu memberikan nafas baharu kepada DUN Nenggiri, Gua Musang, Kelantan khususnya buat masyarakat Orang Asli jika dipilih menjadi wakil rakyat. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mahu orang muda diangkat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 17 Ogos ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penduduk menyifatkan calon muda dilihat lebih segar dalam membawa perubahan dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu pembangunan, ekonomi serta pendidikan.

Muhammad Sani Anuar, 25, berkata, sudah tiba masanya orang muda diberikan peranan untuk menjadi wakil rakyat di DUN Nenggiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, dia percaya kehadiran golongan itu mampu membawa perubahan pada masa akan datang.

“Kami lihat DUN Nenggiri ketinggalan berbanding dua lagi DUN lain di Parlimen Gua Musang, iaitu DUN Galas dan DUN Paloh.

“Saya yakin pemimpin muda dapat membawa perubahan di DUN Nenggiri yang kebanyakannya kampung tradisional,” katanya.

Bagi penduduk Orang Asli, Nora Angah, 35, dia mahukan pemimpin berjiwa rakyat yang cakna dengan isu setempat.

“Saya berharap calon PRK Nenggiri kali ini ada wakil orang muda kerana kami pasti hala tuju serta idea daripada pemimpin muda adalah lebih segar.

“Saya juga mengharapkan perkara asas dapat diberi perhatian sepenuhnya dengan konsep turun padang terutama di kawasan luar bandar yang masih lagi mundur daripada arus pembangunan seperti infrastruktur, jaringan jalan raya, telekomunikasi, internet dan bekalan air,” ujarnya.

Sementara itu, Hassan Abdullah, 60, berkata, dia mahukan pemimpin yang dapat menyelesaikan masalah rakyat dan membangunkan ekonomi golongan muda bukan hanya sekadar menabur janji pada pilihan raya semata-mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini