PETALING JAYA: Tindakan penarikan semula kad fleet diesel bagi penyeleweng subsidi bahan bakar itu dilihat masih tidak mencukupi dan perlu ditambah agar lebih tegas.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, penyeleweng yang dianggap pengkhianat kepada negara itu perlu tindakan setimpal lebih berat.
Katanya, ia sebagai peringatan kepada mereka yang mengambil kesempatan atas kemudahan subsidi yang tidak dapat dinikmati oleh semua rakyat.
“Kami sangat bersetuju dengan penarikan semula kad fleet sekiranya disalahgunakan. Ini mampu membasmi jenayah penyalahgunaan kemudahan di samping menyelamatkan ekonomi negara.
“Tetapi tindakan ini sahaja tidak mencukupi kerana disebabkan penyelewengan inilah subsidi pukal ditarik balik daripada rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan kerajaan akan menarik balik kad fleet diesel bersubsidi daripada mana-mana pihak yang menyeleweng subsidi bahan bakar itu dan menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit.
Menerusi kad fleet yang diberikan di bawah skim subsidi bersasar, pengguna tertentu terutama sektor pengangkutan boleh membeli diesel pada harga sebelum pengapungan iaitu RM2.15 berbanding harga selepas apungan RM3.35.
Mengulas lanjut, Mohamad Yusrizal berkata, antara pendekatan boleh diambil bagi yang melanggar syarat adalah denda, disenarai hitam dan penjara.
Katanya, tindakan tegas itu perlu bagi mengelak lebih banyak penyelewengan dan kerugian negara pada masa akan datang.
“Jadi, kita mengharapkan tindakan tegas daripada kerajaan. Selain denda dalam bentuk wang ringgit, kita harap mereka ini juga dikenakan tindakan penjara.
“Seharusnya penyelewengan ini dianggap satu jenayah berat dan dikenakan hukuman berat yang setimpal,” katanya. – UTUSAN











