PETALING JAYA: Kira-kira 700,000 rakyat Palestin di utara Gaza kini diambang malapetaka terburuk sejak 7 Oktober lalu apabila terpaksa bergantung hidup dengan saki-baki daun-daun pokok yang kini sudah hampir kehabisan selepas rejim Zionis menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan di kawasan tersebut.
Lebih malang, bukan sahaja kehabisan stok makanan ruji seperti beras, ayam, daging, gula dan makanan dalam tin, malah susu bayi juga disekat rejim tidak berperikemanusiaan itu daripada dihantar ke utara Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, situasi diburukkan lagi apabila tentera Israel masih meneruskan serangan, pada masa sama mencetuskan krisis kebuluran melampau terburuk.
Katanya, sejak tentera Israel melancarkan serangan darat di Rafah dan mengambil alih Lintasan Rafah (sempadan Mesir) pada 7 Mei lalu, mereka mengharamkan sebarang kemasukan bantuan kemanusiaan ke utara Gaza.
“Selama dua bulan, apa jua jenis makanan dihalang daripada masuk.
“Pada masa ini, sudah tiada apa lagi untuk dimakan. Stok makanan di kedai-kedai juga kehabisan. Situasi itu mengakibatkan rakyat Palestin terpaksa bergantung hidup dengan memakan baki daun pokok yang ada di sekitar kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Mengulas lanjut, Sharif berkata, berdasarkan laporan pemerhati antarabangsa, puluhan bayi berusia bawah dua tahun meninggal dunia akibat kekurangan nutrisi manakala ribuan lagi sedang merana dan berisiko mengalami nasib sama.
“Selain ‘perang kebuluran’, rakyat Palestin juga berhadapan ‘perang dahaga’ kerana ketiadaan bahan api untuk mengoperasikan stesen-stesen bekalan air berikutan bahan itu turut dihalang kemasukannya,” katanya.
Menurutnya, tentera Zionis memaksa rakyat Palestin mengosongkan kawasan di timur bandar Gaza dan mereka turut meluaskan arahan tersebut ke Tuffah, Daraj and Bandar Lama.
“Pelarian kini sudah tiada lagi tempat dituju. Bukan itu saja tempat perlindungan dan khemah juga sudah kehabisan untuk mereka berlindung. Mereka kira hidup merempat di jalanan siang dan malam,” katanya.
Sharif yang turut berasal dari Gaza berkata, tentera Zionis sekali lagi menggunakan propaganda bahawa Ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di utara Gaza dijadikan kubu Hamas sebelum menyerang lokasi tersebut. – UTUSAN










