TANJUNG MALIM: Polis giat mengesan seorang wanita yang hilang pada 1.56 pagi, 11 Julai lalu dengan lokasi terakhir di Taman Universiti di sini.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, wanita berumur 25 tahun dikenali sebagai Nur Farah Kartini Abdullah disedari hilang pada 10 Julai lalu sebelum laporan polis dibuat keesokan harinya.
“Wanita itu berbangsa Melayu, berkulit cerah, tinggi lebih kurang 163 sentimeter, berat 58 kilogram, berbadan sederhana, tahi lalat bawah mata kiri.
“Penampilan terakhirnya ialah berpakaian korporat muslimah warna biru jeans, bertudung dan memakai seluar hitam,” katanya di sini, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan atau terus menelefon Pejabat Polis Daerah Muallim di talian 05-459 6122.
Difahamkan, wanita itu merupakan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). –UTUSAN










