PORT DICKSON: Mayat seorang lelaki yang masih belum diketahui identiti ditemukan terapung oleh pemancing di perairan Tanjung Tuan, di sini, petang semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd. Khairi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan penemuan itu daripada pemancing kira-kira pukul 5.10 petang semalam.
Berikutan itu, bot Perkasa 37 yang sedang dalam operasi diarahkan ke lokasi untuk mengesan dan melaksanakan tindakan selanjutnya.
“Kira-kira pukul 5.51 petang, Perkasa 37 tiba di lokasi dan telah menemui satu mayat lelaki hanya berseluar panjang di kedudukan 2.2 batu nautika barat daya Tanjung Tuan.
“Mayat tanpa identiti itu kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Mohd. Khairi lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di nombor 06-3876730.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah mahupun kecemasan di laut.
Ia dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan atau kecemasan 999 yang beroperasi secara 24 jam.-UTUSAN.










