WARSAW: China mengadakan latihan tentera dengan Belarus minggu ini di sempadan timur Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), sebagai tanda ketegangan yang meningkat antara Beijing dan pakatan pertahanan yang diketuai Amerika Syarikat (AS).
Latihan bersama ‘anti-pengganas’ di tanah sekutu Russia, Belarus berhampiran sempadan Poland diadakan ketika pemimpin NATO berkumpul untuk sidang kemuncak di Washington, yang menetapkan peperangan di Ukraine sebagai agenda utama.
Dengan hubungan antara NATO dan China serta Russia di satu pihak lain sedang merosot, analisis percaya bahawa Beijing mahu menghantar mesej amaran kepada perikatan melalui latihan tersebut.
Latihan bersama antara China dan Belarus pernah dilakukan sebelumnya, tetapi ini adalah kali pertama sejak Russia menyerang negara jiran Ukraine, sekutu NATO pada Februari 2022.
Latihan itu bermula 8 Julai di Brest, sebuah bandar yang terletak di sempadan dengan Poland, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Pertahanan China, semalam.
Kenyataan itu berkata, ia akan berlangsung sehingga pertengahan Julai, namun tidak memberikan jumlah tepat penglibatan askar China.
Kedua-dua pihak giat berusaha untuk memperbaiki teknik pertempuran dan memperdalam kerjasama serta komunikasi antara tentera, menurut kenyataan.
Pegawai diplomatik China menegaskan bahawa latihan itu tidak ditujukan kepada mana-mana negara.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Poland mengecam penjadualan latihan tersebut.
Ia memberi amaran mengenai ‘risiko operasi berkenaan digunakan untuk tujuan penyelewengan dan propaganda, bertepatan dengan sidang kemuncak NATO.
Bahkan, latihan itu juga dilakukan ketika Beijing, salah satu rakan kongsi utama Russia, juga mengalami hubungan yang semakin tegang dengan NATO.- AFP










