SHAH ALAM: Kira-kira 3,000 individu menerima rawatan gangguan mental setiap tahun di klinik kesihatan (KK) sejak tahun 2020.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, berdasarkan jumlah tersebut daerah Klang mencatatkan rawatan pesakit tertinggi iaitu lebih 500 kes diikuti Petaling ( lebih 400 pesakit) dan Sepang (lebih 300 pesakit) setahun di klinik kesihatan (KK).
“Antara faktor gangguan mental tersebut adalah genetik dan personaliti seperti tahap ketahanan mental yang rendah terhadap cabaran hidup menyebabkan individu sukar menguruskan cabaran hidup.
“Individu ini perlu sentiasa dikelilingi sokongan sosial bagi membantu menguruskan cabaran hidup. Faktor gaya hidup juga memainkan peranan termasuk gejala penyalahgunaan dadah dan kurang aktiviti fizikal,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Sallehen Mukhyi (PN -Sabak) yang meminta perkembangan terkini kes gangguan mental mengikut daerah dari tahun 2020 hingga kini serta strategi kerajaan menangani masalah ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama itu, gangguan mental turut disebabkan tekanan hidup termasuk trauma pengalaman lalu, isu kerjaya serta tempat tinggal.
Menurutnya, keadaan gangguan tersebut turut disumbangkan disebabkan stigma terhadap kesihatan mental.
“Ini disebabkan keengganan individu yang terkesan dengan kesihatan untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang disediakan kerajaan. Rasa malu dilabel sebagai kurang siuman, mental, gila adalah senario yang biasa ditemui,” jelasnya.
Justeru, Jamaliah memaklumkan kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) telah merancang tujuh strategi bagi mengatasi permasalahan ini termasuk kerjasama rentas agensi.
“Sekurang-kurangnya sekali setahun akan diadakan mesyuarat teknikal kesihatan mental melibatkan semua pihak berkepentingan seperti pakar psikiatri, kaunselor, Pejabat Kesihatan Daerah(PKD),Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri bagi membincangkan pencapaian dan penambahbaikan program.
“Kita juga jalankan latihan pengendalian tingkah laku bunuh diri kepada anggota kesihatan (MySave) selain saringan kesihatan mental terhadap klien yang berisiko di Jabatan Pesakit Luar (hospital),” jelasnya. – UTUSAN









