PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam perancangan untuk menggantikan aset Super Lynx kepada helikopter berkeupayaan peperangan bawah permukaan atau Anti Submarine Warfare (ASW) dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu adalah perancangan bagi penggantian helikopter yang berusia lebih 20 tahun.
Kata beliau, dokumen strategi Program Transformasi Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 15 to 5 menyenaraikan rancangan perolehan empat helikopter ASW dalam RMK13 bagi menggantikan Super Lynx.
“Pada masa sama, TLDM turut mengusahakan perolehan helikopter operasi maritim (HOM) AW139 bagi melengkapkan Skuadron 503 dengan lapan helikopter.
“Perancangan penggantian helikopter TLDM adalah selaras dengan komitmen kerajaan memelihara kedaulatan dan keselamatan perairan Malaysia di kedua-dua wilayah,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) yang meminta penjelasan mengenai perancangan kementerian bagi penggantian helikopter yang berusia lebih 20 tahun.
Mengulas perkara itu, Mohamed Khaled menyatakan, kementerian khususnya TLDM sentiasa mengambil serius terhadap tahap kesiagaan aset TLDM dan pembangunan sumber manusianya.
“Berkait nahas pesawat helikopter TLDM yang telah berlaku, TLDM akan menangani perkara ini sebaik mungkin berdasarkan sumber sedia ada.
“Dari segi ketersediaan anggota dalam melaksanakan tugas, pihak TLDM akan meneruskan pembangunan modal insan yang kompeten bagi memenuhi keperluan operasi untuk masa kini serta masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










