Gerakan persoal pendirian Guan Eng, Anthony Loke isu `katak politik’ 

Gerakan persoal pendirian Guan Eng, Anthony Loke isu `katak politik’ 

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pemimpin utama DAP, Lim Guan Eng dan Anthony Loke Siew Fook digesa menyatakan pendirian sama ada mereka menyokong ‘katak politik’ yang terus mengganggu proses demokrasi negara dan bersetuju dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk tidak mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berpaling tadah.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mengingatkan pemimpin DAP untuk tidak melupakan bahawa mereka pernah dua kali dikhianati oleh ‘katak politik’ sehingga hilang kuasa di Perak serta di peringkat pusat. 

“Dahulu, para pemimpin DAP mengutuk keras ‘katak politik’ dan mengecam mereka di perhimpunan awam, serta meminta pengundi menggunakan undi mereka untuk menghukum ‘katak politik’. 

“Sekarang, adakah kerana tindakan ini menguntungkan kedudukan Kerajaan Perpaduan, mereka memilih untuk berdiam diri?” soalnya dalam satu kenyataan. 

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, Johari memutuskan enam bekas ahli Bersatu kekal sebagai wakil rakyat dan tidak berlaku kekosongan kerusi Parlimen.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu perkara itu menerusi surat yang dinyatakan Speaker Dewan Rakyat bertarikh 9 Julai 2024. 

Mengulas lanjut, Dominic Lau turut menyindir pemimpin DAP yang dahulunya menentang ‘katak politik’, kini membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengukuhkan kuasa. 

“Sekarang mereka dianggap sebagai aset berharga, membuktikan bahawa segala yang dikatakan oleh DAP dahulu adalah pembohongan untuk menipu rakyat?

“Ketebalan muka para pemimpin DAP benar-benar membuat saya tidak boleh bersuara, saya ingin mengingatkan Anthony Loke, jangan fikir pengundi tidak melihat apa yang kamu lakukan, DAP mempunyai 40 ahli Parlimen, namun tidak berani menentang tindakan kerajaan yang salah di Dewan Rakyat atau dalam Kabinet,” katanya. 

Dalam pada itu, Dominic Lau turut meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat itu, selain membuktikan bahawa dakwaan Speaker berkecuali hanyalah ilusi untuk mengelirukan dan sukar diterima rakyat.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Kerajaan Perpaduan membuat keputusan tersebut kerana tidak yakin boleh merampas kembali enam kerusi Parlimen tersebut. 

“Tidak kira apa alasan Speaker, ini membuktikan bahawa janji Anwar untuk melakukan reformasi Parlimen hanyalah agenda palsu,” katanya. 

Pada masa sama, beliau menggesa Dewan Rakyat menyemak semula Perkara 49A(2)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa apabila seorang ahli Parlimen dipecat oleh partinya, dia tidak akan kehilangan status sebagai ahli Parlimen dan boleh menyertai parti lain.

Katanya, ini kerana perkembangan itu jelas menyaksikan undang-undang anti-lompat sedia ada mempunyai kelemahan. 

“Dengan adanya perkara ini, parti politik yang memecat seorang ahli parlimen atau ADUN tidak akan menyebabkan individu tersebut kehilangan kerusinya. Ini membolehkan ‘katak politik’ memanfaatkan kelemahan ini untuk melompat parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN