BEIJING: Seorang lelaki ditangkap kerana cuba menyeludup lebih 100 ekor ular hidup ke China dengan menyembunyikannya di dalam seluar.
Pengembara yang tidak dinamakan itu dihalang oleh pegawai kastam ketika dia cuba menyelinap keluar dari Hong Kong ke bandar sempadan Shenzhen, kata Kastam China dalam kenyataan, hari ini.
“Setelah diperiksa, pegawai kastam mendapati poket seluar yang dipakai penumpang itu dibungkus dengan enam beg bertali kanvas dan dilekatkan dengan pita.
“Sebaik dibuka, setiap beg didapati mengandungi ular hidup dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna,” katanya.
Kenyataan berkata, pegawai merampas 104 ekor reptilia bersisik itu, termasuk ular susu dan ular jagung, di antaranya adalah spesis bukan asli.
Sebuah video yang disertakan menunjukkan dua ejen sempadan memeriksa beg plastik lutsinar dipenuhi ular berwarna merah, merah jambu dan putih yang bergerak-gerak.
China adalah antara pusat perdagangan haiwan terbesar di dunia, tetapi pihak berkuasa membanteras perdagangan haram sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Undang-undang biosekuriti dan kawalan penyakit negara melarang orang ramai daripada membawa masuk spesis bukan asli tanpa kebenaran.
“Mereka yang melanggar peraturan akan … bertanggungjawab mengikut undang-undang,” kata pihak berkuasa kastam tanpa menyatakan hukuman dikenakan terhadap lelaki terbabit.- AFP










