RCI Batu Puteh: Tun M fail notis rayuan

RCI Batu Puteh: Tun M fail notis rayuan

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya agar prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, dijalankan secara terbuka.

Notis rayuan tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Law Practice of Rafique pada 9 Julai lalu.

Selain merayu agar prosiding RCI tersebut dijalankan secara terbuka, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga memohon supaya prosiding terbabit ditangguhkan sehingga rayuan selesai.

Pada 12 Jun lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Dr. Mahathir untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung prosiding tersebut.

Pada prosiding sama, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Dr. Mahathir untuk menghalang Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif serta dua ahli suruhanjaya itu, Datuk Dr. Baljit Singh Sindu dan Datuk Mohammed Ridha Abd. Kadir.

Turut ditolak ialah permohonan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu untuk menggantung prosiding tersebut.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Dr Mahathir supaya dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa RCI membenarkan beliau dan peguamnya hadir sepanjang prosiding berkenaan.

Dr. Mahathir memfailkan permohonan itu pada 5 Jun lepas, menamakan pengerusi RCI, Tun Md. Raus Sharif dan timbalannya Tan Sri Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.

Responden ketiga hingga kelapan ialah ahli RCI Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Ham Abd Kadir, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman.

Menurut permohonan yang difailkan, Dr. Mahathir memohon perintah supaya prosiding RCI dalam pengendalian isu berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.

Beliau juga memohon perintah bagi melarang Md. Raus daripada bertindak sebagai pengerusi RCI dan menghalang Dr. Baljit dan Mohammed Ridha daripada menjadi ahli RCI kerana didakwa berisiko berat sebelah.

Dalam permohonan itu Dr. Mahathir turut memohon deklarasi bahawa beliau adalah individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara yang disiasat oleh RCI di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan oleh itu wajar diberikan hak untuk diwakili peguam sepanjang prosiding di hadapan pesuruhjaya.

Sebelum ini, Dr. Mahathir mendakwa prosiding RCI diadakan secara tertutup tanpa memberitahunya atau pasukan peguamnya dan hanya mengetahuinya secara tidak sengaja.

Dr. Mahathir kemudian disepina untuk hadir perbicaraan RCI pada 12 Jun lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×