KEMAMAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mematahkan sindiket penyelewengan diesel selepas merampas 50,000 liter bahan bakar itu di sebuah jeti berhampiran Sungai Kuang, dekat sini, semalam.
Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, diesel tersebut dirampas hasil serbuan ke atas sebuah kapal tunda dan lori di jeti tersebut kira-kira pukul 2 pagi.
“Kita percaya, modus operandi sindiket ini adalah membeli diesel di tengah laut menggunakan kapal tunda dan bahan bakar itu kemudian akan dipindahkan ke lori tangki untuk dijual semula kepada pembeli di pasaran gelap.
“Dianggarkan semasa serbuan terdapat lebih kurang 10,000 liter minyak diesel telah dipindahkan dari kapal tunda ke lori tangki menggunakan paip saluran getah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Saharuddin berkata, serbuan membabitkan tujuh penguat kuasa KPDN dan anggota polis itu adalah hasil risikan selama sebulan.
“Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati kapal dan lori itu tidak memiliki permit atau surat kebenaran untuk berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak diesel.
“Kita turut menahan empat lelaki warga tempatan dan seorang warganegara Indonesia yang berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun, bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kesemua rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM863,500 dan kes disiasat disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN








