Permohonan tauliah mengajar agama di Perak ditapis ketat - Utusan Malaysia

Permohonan tauliah mengajar agama di Perak ditapis ketat

SAARANI Mohamad (kanan) semasa menjawab soalan pada Sidang DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Proses mendapatkan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perak yang perlu mengambil masa dengan tempoh kira-kira setahun adalah munasabah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini memandangkan pengajaran agama merupakan tugas penting serta berat kerana melibatkan soal akidah dan hukum fikah.

“Pihak Jabatan Mufti Negeri Perak perlu berhati-hati dalam menilai calon-calon pemegang tauliah yang benar-benar berkelayakan untuk diberi tauliah mengajar,” katanya ketika menjawab soalan Husairi Ariffin (PN-Kenering) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ketika menjawab soalan tambahan berkenaan pentauliahan dalam kalangan ahli politik, Saarani berkata, peraturan itu dibuat ialah bagi mengelakkan masjid digunakan untuk tujuan penyeberan pemikiran serta fahaman politik.

“Sebab itu kita tak membenarkan mana-mana orang yang ada jawatan dalam politik diberi tauliah supaya tidak mencampur adukkan kepentingan politik semasa mengajar dalam masjid,” katanya.

Jelasnya, hal itu juga bertujuan mengharmonikan masjid supaya dapat berfungsi seperti sepatutnya, menjadi tempat orang Islam berkumpul serta mengelakkan perselisihan dan perdebatan berasaskan kepentingan politik.

Dalam jawapannya juga, Saarani berkata, setiap calon perlu menduduki ujian bertulis bagi Peperiksaan Tauliah Mengajar Negeri Perak melibatkan tujuh subjek iaitu tauhid, fekah, sirah, hadis, tafsir, aliran pemikiran dan tasawuf) yang hanya diadakan satu kali setahun.

“Berdasarkan rekod sebelum ini, kira-kira 150 hingga 250 calon pemegang tauliah yang menduduki ujian bertulis ini,” katanya beliau.

Beliau pada masa sama mempertahankan undang-undang tersebut sebagai langkah pencegahan awal berbanding hanya mengambil tindakan selepas kejadian berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×