UMNO-Pas tak kesampaian… - Utusan Malaysia

UMNO-Pas tak kesampaian…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apa diharap padi seberang,
Entahkan berisi entahkan tidak,
Apa diharap kasihnya orang,
Entahkan sudi entahkan tidak.

Pantun empat kerat (yang sebenarnya enam kerat) ini berlingkar sejak setahun ini dalam hubungan politik ‘masam-masam manis’ tiga parti Melayu, UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bertepuk sebelah tangan, takkan berbunyi. Pas akhirnya Jumaat lalu memilih bersama Bersatu yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) – seperti mana dipertegaskan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Tanpa kenyataan rasmi atau pemakluman kepada Presiden UMNO, cuma melalui Facebook milik Abdul Hadi, kelmarin.

Dan meskipun Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mengambil sikap lebih berhemah menjelaskan penentuan kerjasama Pas-UMNO akan dibincangkan Majlis Syura, luahan dalam Facebook Hadi sudah menjawab mengapa Presiden Pas itu enggan bercakap dengan media selepas ucapan dasar Presiden UMNO, 28 Mac lalu yang menoktahkan kerjasama UMNO-Bersatu.

Nampaknya hasrat sebahagian besar penyokong dan ahli UMNO-Pas untuk melihat dua parti Melayu terbesar itu menjalin kerjasama bersejarah dalam pilihan raya umum (PRU) yang terakhir kali pada PRU 1974, masih tidak kesampaian.

Anak-anak muda Melayu hari ini yang ambil endah tak endah pasal sejarah hanya boleh imbau kisah silam sahajalah. Manisnya saat itu, Pas secara rasmi menyertai gabungan Parti Perikatan pada 1 Januari 1973 – buat pertama kalinya masuk PRU setahun kemudian tanpa gunakan simbolnya sendiri, bulan bintang.

Bahkan Pas bertan­ding atas tiket Barisan Nasional (BN) yang dijenamakan daripada Perikatan. Kemunculan sulung BN dalam PRU 1974 dikatakan paling hebat kerana dua parti pembangkang yang kuat ketika itu, iaitu Pas dan Gerakan menjadi komponen BN.

Kini, kerjasama UMNO-Pas hanya suatu nostalgia biarpun pada detik awal, kemenjadian gabungan dua parti ini dalam MN hampir mustahil terlerai ‘sampai kiamat’ – ikut kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Aziz, April 2019. Waktu itu, UMNO dan Pas ibarat pengantin baharu. MN menikmati ‘pakej bulan madu’ memenangi satu demi satu pilihan raya kecil sehinggalah angka itu menjadi 7-0, terakhir di Slim, Perak, Ogos tahun lepas.

ONAK DURI

Pas bukanlah asing kepada UMNO. Selepas lima tahun UMNO ditubuhkan, pada 1951, sekumpulan ulama keluar dari parti itu menubuhkan Persatuan Islam Se-Malaya atau Pas dengan keahlian longgar, melantik Ahmad Fuad Hassan dari UMNO sebagai Presiden.

Sejak kemunculan Pas pada 23 Ogos 1951 sehingga berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini, sejarah parti itu penuh onak berduri.

Penyertaan Pas dalam pilihan raya 1959 biarpun hanya menang 13 kerusi Parlimen daripada 104 yang dipertandingkan, memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai.

Sejurus selepas pilihan raya, perpecahan berlaku dalam kerajaan Pas di Terengganu dan ia jatuh, diganti dengan kerajaan Perikatan.

Pada 1964 dan 1969, prestasi Pas merosot dengan memperoleh hanya sembilan kerusi pada 1964 dan 12 kerusi pada 1969. Selepas rusuhan kaum 1969, Pas menyertai BN dan memenangi 14 kerusi.

Perpecahan berlaku dalam Pas dan parti itu keluar BN. Pada 1978, 1982 dan 1986, prestasi Pas menjunam semula. Ia mendapat lima kerusi pada 1978, lima kerusi pada 1982 dan hanya satu kerusi pada 1986.

Apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan parti Melayu Semangat 46, Pas mengadakan pakatan dengannya. Dengan itu pada PRU 1990 dan 1995, Pas memenangi tujuh kerusi setiap PRU.

Pada 1999, Pas menyertai Barisan Alternatif bersama PKR dan DAP.

Hasil kerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif (PKR, Pas, DAP), kemenangan Pas bertambah kepada 27 pada 1999. Pada 2004 apabila DAP tidak menyertai Barisan Alternatif, Pas memperoleh cuma tujuh kerusi.

Kemudian pada 2008 dan 2013, apabila Barisan Alternatif dijadikan Pakatan Rakyat dan DAP kembali menyertainya, prestasi Pas meningkat semula. Pada 2008, Pas memenangi 23 kerusi dan pada 2013, 21 kerusi.

Yang ketara dari rekod tempoh waktu itu ialah pencapaian Pas menyusut apabila bersendirian. Tetapi sebaliknya apabila berpakat dengan DAP, pada 1999, 2008 dan 2013,

Pas mendapat kemenangan tertinggi iaitu 27 pada 1999, 23 kerusi pada 2008 dan 21 kerusi pada 2013.

Namun, rekod Pas dalam PRU-14, 9 Mei 2018 membuktikan tanpa bersama DAP pun malah bersendirian, Pas masih mampu meraih 18 kerusi Parlimen – merampas kembali Terengganu selain mengekalkan penguasaan Kelantan serta turut memerintah Kedah.

CERDIK

Apa yang pasti, Pas sudah makin cerdik dalam pencak silat politik. Parti itu tahu yang mana satu kaca, yang mana satu permata. Pas perlu memilih jalannya sendiri. Buat julung kali dalam sejarah Pas moden sejak 47 tahun lalu, parti itu berada dalam kerajaan. Wakil-wakil rakyatnya berjawatan menteri, pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) dan menggerakkan projek-projek mega di Kedah dan Kelantan. Peruntukan besar dari Pusat yang belum pernah Pas nikmati.

Detik manis pemimpin UMNO-Pas dalam himpunan Melayu bangkit pasca PRU-14 hanya tinggal kenangan. Termasuklah himpunan raksasa membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) di ibu negara, 8 Disember 2018 yang mengumpulkan puluhan, malah ratusan ribu orang.

AGIHAN KERUSI

Frasa Pas pertahankan MN (Muafakat Nasional), kukuhkan PN (Perikatan Nasional) meletakkan hubungan UMNO-Pas dalam persimpangan. UMNO terutamanya yang berbelah bahagi jika 150 kerusi Parlimen berteraskan Melayu-bumiputera daripada 222 dibahagi tiga pula dengan Bersatu. Mengambil iktibar Pilihan Raya Negeri Sabah, 26 September 2020, berapalah agaknya nanti yang UMNO akan menang? Baki 30 kerusi lagi daripada 150 tersebut adalah kawasan campuran manakala 42 kerusi adalah majoriti Cina.

Sebelum PN ditubuhkan lagi pun, difahamkan sudah ada deal dalam MN untuk menentukan agihan kerusi PRU-15.

Difahamkan, tiga kriteria ditetapkan:
1) Status quo kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mana-mana calon UMNO atau Pas, kekal di tangan penyandang masing-masing.
2) Parti yang meraih undi kedua tertinggi di kerusi yang kalah, dipersetujui menjadi calon mewakili MN.

Contoh:
i. P.149 – SRI GADING
PH: 21,511: Sharuddin Md. Salleh (Bersatu)
UMNO/BN: 18,223 (Datuk Ab. Aziz Kaprawi)
Pas: 4,548 (Lt. Kol. M. Ashari Sidon)
Keputusan: Calon UMNO bertanding di situ pada PRU-15.

ii) P.057 – PARIT BUNTAR Mujahid Yusof (Amanah)
PH (Amanah): 16,753 (Datuk Mujahid Yusof)
UMNO/BN: 13,655 (Abdul Puhat Mat Nayan)
Pas: 12,312 (Ahmad Azhar Sharin)
Keputusan: Calon UMNO bertanding.

iii) P.077 – TANJONG MALIM
PH: 24, 672 (Chang Lih Kang)
BN: 19,314 (Dr. Mah Hang Soon)
Pas: 10, 311 (Mohd. Tarmizi)
Keputusan: Calon BN bertanding PRU-15.

3) UMNO-Pas boleh bertukar-tukar kerusi Parlimen dan DUN dengan syarat dipersetujui bahagian dan kawasan. Dengan kata lain, UMNO berlapang dada menyerahkan kerusi dimenanginya kepada Pas untuk ditandingi. Demikianlah juga timbal balik daripada Pas.

Contoh:
i. P.059 BUKIT GANTANG
UMNO/BN: 22,450 (Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal)
PH: 18,361 (Datuk Khadri Khalid)
Pas: 16, 052 (Idris Ahmad)
Keputusan: Calon Pas bertanding PRU-15.

ii) P.028 PASIR PUTEH
Pas: 32,307 (Dr. Nik Zawawi)
UMNO/BN: 30,947 (Dr. Asyraf Wajdi Dusuki)
PH: 4,896 (Datuk Kamarudin (Abe Din))
Keputusan: Calon UMNO bertanding PRU-15.

KES MAHKAMAH

Kata Hadi dalam Facebook: “Pas menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat.” Pas menyedari deretan kes mahkamah menunggu pemimpin-pemimpin UMNO tahun ini, dari Zahid, Azeez, Shahrir, Ahmad Maslan, Najib serta Rosmah. Pas ‘enggan’ peduli isu ‘pendakwaan terpilih atau tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah.’

Kesemua ini meletakkan Pas ‘dalam dilema’ meskipun ada pihak melontarkan Bersatu hari ini hanya ada kuasa eksekutif. Kata mereka, Bersatu bukanlah ancaman pada Pas di negeri-negeri dominan Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Lawan sebenar dan saingan Pas paling kuat ialah UMNO. Adalah sangat logik apabila Pas leverage pada kuasa eksekutif Bersatu untuk ‘menyekat’ kemaraan UMNO.

“Pas tengok saja UMNO dilemahkan oleh pemegang-pemegang kuasa eksekutif dari Bersatu. Tak nak back up pun UMNO. Apabila UMNO lemah, lagi senang Pas menang dan control negeri-negeri itu. Tengok di Kelantan dan Terengganu sudah. Ada tak Pas berikan jawatan Exco pada UMNO walaupun kononnya dah muafakat?

“Jadi, macam mana UMNO nak bekerjasama dengan Pas?” kata seorang pemerhati.

Sudah berakhirkah perpecahan para pemimpin Melayu selama ini? Ya, belum lagi.

Kita mungkin tidak akan dijajah semula seperti mana British dahulu menjajah kita. Tetapi penjajahan dan penghinaan ke atas kita boleh dibuat dalam pelbagai cara dan bentuk.

Yang bahananya ialah apabila ‘nilai-nilai hak asasi’ dijadikan gong politik pihak yang mahu meragut perpaduan orang Melayu.

Maka kita orang Melayu pun khuatir dan takut. Kita segan dan mula tunduk. Jangan lupa, bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik – ular apatah lagi, biawak pun ikut.

Ingatlah, bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah ‘kendur berdenting-denting, tegang berjela-jela.’

Ambillah iktibar daripada dua rangkap pantun nukilan Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan ini:
Batang sena dibelah-belah,
Dibuat orang menjadi sangga,
Politik hanya satu wasilah,
Keutuhan negara itulah yang utama.

Pohon betik di pinggir dapur,
Lebat buahnya dibuat halwa,
Tiadalah politik bidang yang kotor,
Jika pengendalinya jujur dan takwa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×