Dr. Mahathir sambut ulang tahun ke-99

Dr. Mahathir sambut ulang tahun ke-99

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-99 pada hari ini.

Beliau yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali, dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Dr. Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat pada 16 Julai 1981 dan beliau merupakan Perdana Menteri paling lama mentadbir negara iaitu selama 22 tahun. 

Pada 2018, setelah gabungan politik beliau memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Terdahulu, pengguna media sosial tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan ucapan selamat hari jadi kepada negarawan itu di platform masing-masing dan mendoakan Dr. Mahathir agar diberikan kesihatan berpanjangan.

Malah ada juga mahu Dr. Mahathir berkongsi tips kesihatan apabila beliau dilihat kekal bertenaga dan sihat walaupun usia mencecah hampir 100 tahun.

Sebelum ini, beliau mengakui tidak makan berlebihan untuk kekal cergas dan sihat.

“Makan untuk hidup bukan hidup untuk makan. Apabila makanan itu sedap adalah lebih baik berhenti makan…ini nasihat arwah ibu saya.

“Elakkan makanan banyak lemak, gula dan karbohidrat… mungkin susah untuk kita buat tetapi kita kena disiplinkan diri,”  katanya kepada peserta sesi dialog Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2019 (ABIS) di Pusat Konvensyen dan Pameran IMPACT, Bangkok, lima tahun lalu.

Dari bangku sekolah hingga sekarang, Dr. Mahathir aktif menulis, sama ada artikel, surat kepada editor, buku, dan terkini, blog (blog beliau adalah www.chedet.cc). 

Negarawan itu juga gemar membaca, dan dalam usia lebih 90 tahun kini, masih giat membaca buku-buku fiksyen serta bukan fiksyen. Penulis kegemaran beliau termasuk Wilbur Smith, Dick Francis dan Ken Follett. Beliau juga gemar menunggang kuda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×