ALOR SETAR: Pas Kedah menyokong langkah kerajaan negeri untuk menggunakan jalan perundangan bagi mempertahankan keputusan menghentikan premis dan kedai perjudian di negeri itu sejak 1 Januari tahun lalu.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang membenarkan semakan kehakiman terhadap tindakan kerajaan negeri.
Menurutnya, Pas Kedah kesal dengan tindakan syarikat perjudian yang hanya memikirkan keuntungan sendiri sehingga mengenepikan kesan ketagihan judi yang merosakkan keharmonian dan keutuhan bermasyarakat.
“Alasan yang dikemukakan syarikat judi tersebut bahawa tindakan menghapuskan aktiviti perjudian itu tidak mempertimbang kepelbagaian kaum di negeri ini sebenarnya jelas tersasar.
“Agama dan budaya mana yang membenarkan penganutnya berjudi. Sudah tentu tidak ada, bahkan ia tidak membawa sebarang kebaikan melainkan semata-mata keuntungan yang dibolot oleh operator premis judi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengikut laporan, Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu membenarkan permohonan semakan kehakiman daripada pelbagai pengendali perjudian terhadap keputusan kerajaan negeri Kedah.
Bagaimanapun, kerajaan negeri dilaporkan telah memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 14 November 2021, mengumumkan Kedah tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan jualan arak di seluruh negeri itu.
Penutupan operasi premis perjudian dan loteri di Kedah dimulakan sepenuhnya mulai 1 Januari 2023, apabila kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian selepas tarikh itu.
Sementara itu, Ahmad berkata, dasar ‘Kedah Bebas Judi’ yang telah dilaksanakan dengan penutupan premis dan kedai perjudian di negeri ini adalah tindakan yang tepat oleh kerajaan negeri.
Malah ujarnya, perkara itu berada di bawah kuasa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) yang jelas menunjukkan garis pemisah perundangan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan.
“Pas Kedah menyokong langkah kerajaan negeri untuk mempertahankan keputusan yang dibuat itu. Perkara yang menjadi kebaikan kepada rakyat keseluruhannya wajar sentiasa menjadi keutamaan bagi sesebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab,” katanya. -UTUSAN











