KUALA LUMPUR: Perbahasan ahli Parlimen Pas bahawa firma pelaburan global, BlackRock, yang dikaitkan dengan Israel memiliki 100 peratus saham dalam Global Infrastructure Partners (GIP), membuatkan wakil rakyat DAP tidak berpuas hati.
Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) bangkit merujuk Peraturan Mesyuarat 36 (12) terhadap Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) atas hujahan yang dianggapnya mengelirukan Dewan Rakyat, malah didakwa palsu berhubung pegangan saham BlackRock Inc. dalam GIP.
Awang Solahuddin menyentuh perkara itu semasa membahas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 meminta Ketua Audit Negara mengaudit cadangan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) kepada GIP sehingga menarik perhatian Chuan How.
Chuan How pula mendesak beliau supaya menarik balik kenyataannya berhubung pegangan 100 peratus saham berkenaan.
Chuan How: Peraturan mesyuarat 36 (12), seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh keluarkan kenyataan mengelirukan.
Awang Solahuddin: Apa yang mengelirukan?
Chuan How: Anda kata 100 peratus dimiliki BlackRock. Sila tunjuk bukti sebab itu palsu dan tidak betul. Saya mahu anda tarik balik!
Bagaimanapun, Awang mempertahan kenyataannya dan tidak mahu menarik balik kenyataan tersebut.
Awang Solahuddin: Saya tidak akan tarik balik sebab saya yakin.
Chuan How: Tunjuk buktilah, kalau tidak ada tarik balik!
Chuan How: Speaker, sila buat petua. Itu kenyataan palsu yang diketahui umum. Jangan bina naratif dengan fakta mengelirukan Dewan. Sila tarik balik,” katanya.
Awang Solahuddin kemudian membaca laporan yang didakwa menyebut mengenai pemilikan 100 peratus GIP oleh Blackrock, namun Chuan How tetap menafikannya.
“Mohon tarik balik. Penjualan (GIP kepada Blackrock) itu tidak berlaku, belum berlaku dan ia tidak memiliki. Jangan mengelirukan Dewan… inilah taktik mereka (pembangkang),” katanya.
Disebabkan Awang enggan menarik kenyataan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng meminta Chuan How mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat mengenainya. – UTUSAN










