KUPANG: Sekurang-kurangnya 63 orang maut dalam insiden banjir lumpur serta tanah runtuh yang berlaku di Kampung Nele Lamadike, daerah Flores Timur di Nusa Tenggara Timur (NTT) pada awal pagi semalam.
Kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum penduduk menyambut perayaan Easter yang diakibatkan oleh hujan lebat berterusan.
Banjir lumpur dan tanah runtuh yang berlaku menimbus sejumlah rumah penduduk, selain beberapa jambatan dan jalan utama musnah akibat kejadian tersebut.
Jurucakap Agensi Tindakan Bencana Kebangsaan (BNPB), Raditya Jati berkata, pasukan penyelamat dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu penduduk yang terjejas.
“Satu-satunya akses ke kawasan tersebut adalah menerusi laluan laut dari Pulau Adonara, namun hujan lebat dan angin kencang menyukarkan perjalanan.
“Keadaan cuaca melampau dijangka berterusan bagi tempoh beberapa minggu akan datang dan jumlah korban dijangka meningkat dalam tempoh terdekat susulan ramai penduduk tertimbus di bawah tanah runtuh,” katanya.
Selain itu, lapor Antara News, Ketua Kampung Nele Lamadike, Pius Pedang Melai berkata, operasi mencari serta menyelamat (SAR) giat dijalankan.
“Operasi SAR tidak dapat dilakukan secara menyeluruh kerana memerlukan bantuan jentera berat, selain keadaan disukarkan apabila hujan masih turun.
“Kami sudah minta bantuan daripada pihak berkuasa tempatan supaya jentera berat dapat dihantar ke lokasi kejadian bagi membolehkan operasi SAR dilakukan dengan lancar,” ujarnya. – AFP/AGENSI











