Empat beradik antara didakwa pukul lelaki kerana ekzos bising

Empat beradik antara didakwa pukul lelaki kerana ekzos bising

KESEMUA tertuduh diiring anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memukul seorang lelaki sehingga parah. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lima individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul seorang lelaki sehingga parah dalam pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada bunyi bising ekzos motosikal.

Empat tertuduh yang juga adik-beradik iaitu Azalan Shah, 41; Adanan Shah, 42; Amranshah Makbolshah, 45, dan Amir Shah, 53, bersama seorang lagi tertuduh, Azlan Ahmad, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama-sama telah menyebabkan cedera parah kepada mangsa berumur 53 tahun, kira-kira pukul 8.30 malam di hadapan Medan Selera Pantai Peringgit dalam daerah Melaka Tengah pada 13 Jun 2023.

Mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, kesemua mereka berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, motosikal terlibat ditunggang anak mangsa dan pergaduhan tercetus selepas ekzos kenderaan itu dikatakan terlalu bising.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM7,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh.

Peguam Zahidah Md. Zaman yang mewakili kesemua tertuduh merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak berkemampuan.

Tambah Zahidah, kesemua tertuduh hanya mampu menyediakan wang RM1,000, malah khidmat guaman ditawarkannya juga tidak dikenakan bayaran.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,500 seorang dan menetapkan 22 Ogos ini untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×