WASHINGTON: Sekurang-kurangnya tujuh maut selepas Taufan Beryl membadai tenggara Texas dan Louisiana, menyebabkan hampir tiga juta penduduk terputus bekalan elektrik.
Ribut tropika Beryl melanda selatan Amerika Syarikat (AS) pada pagi semalam, sebagai taufan kategori satu, lapor BBC.
Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) AS berkata, Beryl mendarat berhampiran bandar Teluk Matagorda, dan semakin melemah apabila ia bergerak ke pedalaman, tetapi masih membawa hujan yang boleh menyebabkan banjir serta angin kencang.
Lebih 1,100 penerbangan di lapangan terbang utama Houston dibatalkan pada Isnin, menurut flightaware.com.
Pihak berkuasa berkata, tujuh maut di daerah Harris dan Montgomery di Texas, manakala satu lagi kematian disahkan di Louisiana.
Kebanyakan mereka yang terkorban adalah disebabkan terhempap pokok tumbang, lemas dan terlibat dalam kebakaran yang tercetus oleh kilat.
Beryl dijangka terus melemah semasa ia bergerak secara perlahan-lahan ke utara-timur laut, tetapi risiko banjir kilat dan hujan lebat masih kekal.
Di Louisiana, lebih 30,000 penduduk terjejas tanpa bekalan elektrik akibat ribut, dengan seorang meninggal dunia selepas rumahnya dihempap pokok tumbang di bandar Benton.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran risiko puting beliung dijangka beralih ke Missouri, Tennessee, Kentucky, Illinois, Indiana dan Ohio.
Susulan itu, pelabuhan Corpus Christi, Houston, Galveston, Freeport dan Texas City semuanya ditutup.










