SHAH ALAM: Kerajaan akan mewartakan tanah seluas kira-kira 72.8 hektar di Dengkil, Sepang bagi memindahkan penduduk Kampung Orang Asli Bukit Baja di kawasan asal bagi melaksanakan pembangunan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Pemindahan tersebut dibuat selepas perkampungan Orang Asli berkenaan dikatakan dibina atas tanah seluas kira-kira 98.3 hektar milik syarikat kerajaan negeri itu dan tidak pernah diwartakan sebagai penempatan bagi komuniti tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimana pun kerajaan negeri dilapor mendapat persetujuan dengan komuniti kampung Orang Asli tersebut untuk dipindahkan bagi membolehkan pembangunan oleh PKNS dilaksanakan.
Menurutnya, kerajaan negeri turut mengemukakan beberapa cadangan termasuk pembangunan di kawasan kampung orang asli dengan kos melebihi RM30 juta seperti pembinaan infrastruktur dan pelbagai kemudahan lain.
“243 ekar (98.3 hektar) kawasan yang dicadangkan suatu ketika dahulu sebagai Selangor BUsiness Council oleh PKNS. Saya ingin menjelaskan, perkampungan tersebut tidak pernah diwartakan sebagai perkampungan Orang Asli dan tanah itu masih kekal sebagai tanah milik milik PKNS.
“Kita sudah melaksanakan beberapa perbincangan supaya kita boleh muktamadkan kedua-dua pihak di dalam keadaan menang-menang di mana ada satu pewartaan untuk satu kawasan perkampungan Orang Asli dan PKNS dibenarkan untuk membangunkan kawasan seluas 243 ekar itu.
“Selain itu, beberapa penyelesaian cadangan secara berkelompok juga kita selesaikan antaranya menyediakan tabung pendidikan, jawatankuasa keselamatan kampung, tapak perkuburan baharu, surau, balai raya, tadika dan juga tiga kedai kepada masyarakat dan kos infrastruktur secara keseluruhan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Seri Jamil Salleh pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15 Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Tambahnya, setiap isi rumah juga mempunyai cadangan yang dikemukakan dan kebanyakannya mereka sudah bersetuju antaranya menyediakan tapak-tapak rumah dan menyediakan bangunan asas rumah mereka dan juga beberapa kos untuk pemindahan mereka sebelum pembinaan baharu selesai.
Sebelum ini, isu pendudukan komuniti Orang Asli di kawasan tersebut didakwa timbul selepas PKNS dikatakan mahu melaksanakan pembangunan Selangor Business Council.
Dalam masa sama, Jamil dalam soalan tambahannya meminta penjelasan berkenaan status tanah tersebut yang didakwa oleh penduduk di kampung berkenaan sebagai milik mereka.
Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua menyatakan, tanah tersebut adalah milik PKNS sebagaimana rekod yang terdapat pada kerajaan negeri dan definisi perkampungan Orang Asli hanya dipakai apabila kawasan tersebut diwartakan sebagai perkampungan mereka.
“Itu mungkin melibatkan pemindahan (komuniti Orang Asli) dahulu dan kawasan rayau, suatu ketika dahulu. Tetapi, daripada rekod yang kita perolehi, perkampungan itu memang terletak dalam tanah PKNS.
“Itu pun kerajaan negeri mengambil kira tempoh dan jangka mereka tinggal di sana, jadi kita laksanakan perbincangan, bukan baharu sebenarnya dan saya adalah Menteri Besar ketiga terlibat dalam perbincangan tersebut,” jelasnya. – UTUSAN











