GERIK: Jualan minyak diesel di stesen minyak di Pengkalan Hulu di sini turut merosot selepas kerajaan kerajaan mengumumkan pengapungan harga subsidi baru-baru ini.
Pekerja sebuah stesen minyak di sempadan Malaysia-Thailand dan enggan dikenali berkata, sebelum penarikan subsidi berkenaan, ramai rakyat dari negara jiran yang membeli diesel, tetapi sejak akhir-akhir ini agak kurang walaupun tidak begitu ketara.
“Jika sebelum ini lebih kurang 10 kereta dari negara Thailand datang mengisi minyak diesel setiap hari, tetapi sekarang hanya lebih kurang lima atau enam kereta sahaja yang datang mengisi diesel.
“Jika mengisi minyak diesel, mereka hanya mengisi lebih kurang 15 liter sahaja berbanding sebelum ini mengisi 20 liter,” katanya.
Menurutnya, setiap kereta hanya dibenarkan mengisi 20 liter sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan dan di sempadan pihak berkuasa sentiasa memantau aktiviti penjualan atau penyeludupan minyak diesel atau petrol.
Jelasnya, tidak banyak pengurangan kereta dari Thailand yang masuk ke sini untuk membeli minyak diesel.
“Keadaannya sama sahaja seperti sebelum kenaikan harga minyak diesel. Cuma pada malam pengumuman kenaikan minyak diesel sahaja mereka beramai-ramai datang ke stesen minyak ini untuk mengisi penuh tangki kereta minyak diesel.
“Setelah kenaikan harga diesel diumumkan ada juga yang minta untuk mengisi lebih daripada 20 liter, tetapi kami tidak benarkan kerana ia melanggar arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan,” jelasnya.
Katanya lagi, setiap kenderaan yang mengisi minyak akan dicatat nombor pendaftarannya kerana mereka hanya boleh isi minyak sekali sehari.
Jelasnya, kebanyakan mereka mengisi minyak petrol RON 97 untuk kereta biasa, manakala kenderaan pacuan empat roda dan lori akan menggunakan minyak diesel.
“Sekiranya ingin mengisi lebih, mesti ada surat kebenaran yang dikeluarkan oleh kerajaan, itupun hanya 200 liter sahaja dibenarkan untuk sekali pembelian dalam sehari,” katanya. – UTUSAN










