SAUDARA PENGARANG,
KEMPEN Subuh macam Jumaat dilihat kian lesu tanpa sokongan semua pihak bagi mengimarahkan masjid-masjid yang ada di negara ini. Malaysia sudah mencipta fenomena luar biasa melalui kempen subuh macam Jumaat yang dicetuskan oleh beberapa artis dan pempengaruh.
Namun semangat untuk bangkit Subuh dan turun solat berjemaah perlu diusahakan secara tersusun supaya kempen tersebut dapat mendidik anak-anak kecil agar sentiasa melazimi Subuh secara berjemaah. Hal ini perlu diberikan perhatian serius bagi mendidik generasi muda agar lebih bertakwa dan menjadi insan mulia.
Bangkit untuk solat Subuh merupakan cabaran berat dan jika berjaya menghimpunkan ‘jumlah’ solat Subuh berjemaah, ia merupakan satu pencapaian luar biasa serta melambangkan umat Islam tidak mundur sebagaimana yang digambarkan oleh pihak luar.
Justeru, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) perlu menyusun strategi bagi menggerakkan kempen bangkit Subuh dan turun solat berjemaah dengan lebih berkesan. Hal ini tidak boleh dipandang mudah memandangkan generasi kini perlu mendapatkan pendidikan yang terbaik bagi melazimi diri dari peringkat kanak-kanak.
Asuhan dan didikan penting bagi memastikan setiap langkah ke masjid menjadi disiplin awal. Kelebihan yang besar sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Sesiapa yang membersihkan dirinya (berwuduk) di rumah kemudian dia berjalan kaki menuju ke satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk menunaikan satu kefarduan dari kefarduan-kefarduan kepada Allah, maka setiap langkahnya itu salah satunya memadamkan dosa dan selangkah lagi mengangkat darjatnya” (Riwayat Muslim).
Jadi, usaha kerajaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyasarkan semua Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dijadikan kelas pra tahfiz menjelang 2030 dapat melahirkan lebih ramai huffaz di samping menanam kecintaan terhadap Islam. – UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis










