Tidak ada atau tidak jumpa? - Utusan Malaysia

Tidak ada atau tidak jumpa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA pandai membezakan faktor dalam dengan faktor luaran yang mempengaruhi sesuatu hal ketika belajar Pengajian Perniagaan dalam Tingkatan Enam.  Kami belajar topik lokus kawalan luaran dan dalaman.

Ia lebih terarah kepada hal-hal dalam bidang perniagaan dan keusahawanan, dengan sedikit sentuhan psikologi.

Yang buat saya lebih faham pada faktor-faktor luaran yang memberi kesan kepada pelbagai unsur hidup manusia pula ialah artikel Aplikasi Situational Forces Terhadap Analisis Politik dalam buku Aku Kafir, Kau Siapa (Jangan Jawab) oleh Ooi Kok Hin.

Kok Hin memperkenalkan saya kepada Stanford Prison Experiment. Saya mula lihat dunia dengan lebih terang. Hukuman-hukuman semberono terhadap individu atau masyarakat, yang kebanyakannya dijatuh berdasarkan anggapan manusia atau sekumpulan komuniti itu jahat, mula dibuang jauh. Dunia saya tak lagi hitam putih tetapi lebih berwarna.

Saya jumpa pencerahan baharu bahawa tindak-tanduk bukan hanya didorong pengetahuan, sikap dan kompas moral dalaman, malah boleh ditekan keadaan luar — persekitaran, manusia sekeliling dan norma masyarakat.

Saya ada menulis tentang album baharu Iwan Fals dalam sebuah portal seni baru-baru ini dan saya membangkitkan beza rupa pulih diri (healing) generasi terdahulu dengan sekarang.

Generasi dulu lebih keras dan katang pulih dirinya. Mereka hidup untuk mengatasi cabaran kekurangan sumber dan pilihan. Tak ada duit, tak cukup makan — itu cabarannya.

Mereka kesempitan masa untuk jadi resah dan gundah. Fikiran dikerah untuk bertahan; tidak boleh rapuh. Pilihannya terhad.

Generasi kini cabarannya bertentangan. Kita terlebih sumber dan pilihan. Cukup makan tapi kusut membuat pilihan.

Bayangkan hal mudah seperti makan. Orang dulu kalau makan mereka perlu pilih lokasi, pilih kedai kemudian pilih menu. Mungkin dalam tiga benda itu, pilihannya tak sampai 20 perkara.

Tapi kita sekarang, dengan kemudahan penghantaran makanan, kita berhadapan ratusan pilihan untuk hanya satu tugasan asas — makan.

Pernah ada kajian komprehensif bertajuk The Decision Dilemma oleh syarikat teknologi awan, Oracle. Dalam kajian itu, diperincikan kesukaran generasi sekarang yang semakin lemas dalam data. Ini menyukarkan mereka membuat keputusan kerana pilihan sangat banyak.

Nombor-nombor darahku

Kalau pilihan terlalu banyak dan kita tidak ada masa untuk buat penilaian terperinci, bagaimana kita membuat keputusan?

Saya fikir, dilema berskala generasi ini yang menggerakkan keperluan untuk manusia mencipta mesin bernama kecerdasan buatan. Algoritma berevolusi menjadi bayangan manusia dengan otak buatan.

Kita akhirnya meminta bantuan algoritma dan kecerdasan buatan untuk membuat keputusan. Tidak sepenuhnya salah sebab ia didorong keterdesakan.

Cuma, kesannya pasti ada. Saya melihat dunia semakin seragam disebabkan pengaruh algoritma dan kecerdasan buatan. Kita cenderung berfikir sama hala kerana proses yang memerdekakan diri, iaitu membuat pilihan menjadi semakin sukar.

Di sini saya mahu ketengahkan hal muzik. Tentang hala pendengaran yang sama kerana kurangnya autoriti diri dalam membuat pilihan muzik.

Ini membuatkan jurang antara pengkarya kecil-kecilan dengan artis popular semakin melebar. Pengkarya-pengkarya kecil semakin miskin, terperosok dan tersorok.

Sebab itu orang boleh buat kesimpulan tentang muzik Malaysia berdasarkan karya artis glamor, popular dan terkenal sahaja.

Falasi fatal

Ha, itulah yang nak dicakap sebenarnya. Saja bebel panjang pada permulaan supaya apa yang ditulis selepas ini ada konteks yang jelas dan tidak disalah faham orang.

Sebab saya baca pandangan yang muzik Malaysia ketika ini tiada jiwa. Malah, ada yang kata muzik dahulu lebih pelbagai berbanding hari ini.

Kedua-dua hal itu penuh falasi sebab faktanya, ada banyak pilihan lagu yang wujud ketika ini. Adakah penilaian lagu tak ada jiwa itu dibuat selepas mendengar, sekurang-kurangnya, 10 peratus daripada semua lagu yang ada?

Itu satu. Satu lagi, jiwa yang dimaksudkan itu jiwa siapa? Sebab lagu yang dihasilkan hari ini pastilah dicipta untuk mengisi jiwa manusia hari ini. Tak patut kita mengharapkan lagu hari ini direka dengan pengisian jiwa, contohnya, mat rock kerja kilang tahun 1989.

Dan dakwaan lagu sekarang tidak pelbagai ialah falasi yang lebih besar. Zaman sekarang, orang perlu sebuah kertas A3 untuk lukis rajah pokok perkembangan genre punk saja. Baru punk, belum kira metal yang supersubur itu. Dah berapa banyak subgenre terlahir sejak 70-an.

Di Malaysia juga ada pelbagai genre dan subgenre. Ingat bagaimana warga X hilang pedoman sekejap melihat klip persembahan Killamisha di sebuah festival hip hop? Itu baru secebis hyperpop yang dipersembahkan.

Tahun ini, antara terbitan yang paling mendapat perhatian dalam lapangan independen ialah Kembang Mas oleh S. Razali. Pengaruh terbesar EP itu ialah pop kemboja, inspirasinya Sin Sisamouth dan Ros Serey Sothea.

Tapi pastilah, terbitan-terbitan sebegini tidak dipeduli orang. Mereka tak tahu pun pengkarya itu wujud.

Sebab itu, apabila ada orang cakap Malaysia tak ada karya muzik yang baik, soalan agungnya tetap: tak ada atau awak yang tak jumpa?

Cari di mana?

Kita patah balik pada bebel panjang di awal artikel. Tentang kesukaran generasi semasa membuat pilihan dan akhirnya memilih untuk salam tangan robot, minta mereka buatkan keputusan untuk kita.

Dalam muzik, algoritma yang disusun korporat penstriman gergasi membuatkan muzik yang aneh, pelik dan tersendiri semakin terperosok.

Lebih teruk lagi untuk pengkarya berprinsip yang tak mahu beri untung pada pemilik platform penstriman yang zalim dan buta seni. Lagilah tak ada siapa tahu kewujudan mereka kerana manusia semakin seragam, semua orang bergantung platform penstriman untuk meneroka muzik.

Ini yang membuatkan orang sewenang-wenangnya membuat kesimpulan mentah tentang muzik Malaysia. Sampelnya hanya lagu-lagu yang keluar radio dan artis yang sekurang-kurangnya pernah sekali ada kontroversi terkait rumah tangga dan hubungan kelamin.

Sedangkan, muzik Malaysia sangat kaya. Cuma awak yang tak jumpa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×