MANILA: Filipina giat membangunkan ‘ekosistem halal’ dalam usaha meningkatkan pelancongan dan perdagangan.
Suruhanjaya Kebangsaan Muslim Filipina (NCMF) berkata, negara itu menyasarkan lebih banyak pertukaran komersial dengan negara-negara Arab dan Islam.
Filipina sedang mengembangkan industri halal domestik dengan ketara, walaupun terdapat kira-kira 10 juta muslim dalam populasi hampir 120 juta penduduk yang kebanyakannya penganut Katolik.
Kerajaan berhasrat meraih AS$4 bilion (RM18 bilion) melalui pelaburan dan menjana kira-kira 120,000 pekerjaan menjelang 2028 dengan memanfaatkan pasaran halal global yang dianggarkan bernilai lebih daripada RM32 trilion.
NCMF, agensi kerajaan yang bertanggungjawab mempromosikan hak dan kebajikan masyarakat orang Islam Filipina, adalah tunggak penting untuk memastikan produk serta inisiatif yang dibangunkan bawah industri halal negara mematuhi undang-undang Islam.
“Memandangkan NCMF adalah satu-satunya institusi agama (Islam) dalam struktur kerajaan, NCMF harus memimpin pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan halal,” kata Setiausahanya, Sabbudin Abdurahim.
Suruhanjaya itu bekerjasama dengan agensi kerajaan lain, termasuk Jabatan Perdagangan, Jabatan Pertanian dan Jabatan Pelancongan ketika Filipina berusaha meluaskan kehadiran pasaran produk yang diperakui halal, bukan sahaja merangkumi produk dan perkhidmatan makanan dan minuman, tetapi juga pelancongan.
Sejak Filipina memenangi anugerah Destinasi Mesra Muslim Baru Muncul di Sidang Kemuncak Halal dalam Perjalanan Global pada 2023, ia melabur dengan ketara untuk menarik pelawat dari Timur Tengah dan negara-negara majoriti Islam berdekatan seperti Indonesia, Malaysia serta Brunei, terutamanya dengan memastikan pelawat mempunyai akses kepada produk dan perkhidmatan halal.
“Tanpa membangunkan ekosistem halal, ramai pengunjung dari negara Arab dan Islam berpotensi memilih untuk melawat negara lain seperti Malaysia, kerana yakin mereka boleh mencari makanan halal dengan mudah di sana, tidak seperti di Filipina.
“Jika kita mempunyai restoran halal di Filipina, ramai pelawat negara Arab atau Islam akan datang ke sini. Bahagian halal kita sudah pun bertemu dengan pengusaha hotel, restoran dan pertubuhan lain (mengenai kerjasama),” kata Abdurahim.
Beliau juga menyifatkan perkembangan industri halal akan memanfaatkan semua masyarakat di Filipina.










