IPOH: Perkara-perkara baharu yang ingin diperkenalkan kepada masyarakat perlulah menggunakan pendekatan strategik, bukannya dilakukan secara gopoh dan terburu-buru
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pendekatan berhati-hati dan tidak gopoh yang digunakan Nabi Muhammad SAW ketika menyampaikan mesej Islam secara terbuka setelah diangkat menjadi rasul dan menerima wahyu sewajarnya dicontohi umat Islam.
Titah baginda, Rasulullah SAW juga tidak melakukan pendekatan terburu-buru dengan terus mengisytiharkan bumi Mekah ditadbir urus berpaksikan Islam.
“Baginda terlebih dahulu meneliti suasana dan persekitaran lalu memilih pendekatan paling sesuai memperkenalkan Islam pada peringkat awal melalui gerakan dakwah yang dilakukan secara sulit, bermula dengan bilangan yang kecil dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat rapat.
“Pendekatan berhati-hati dan tidak gopoh ini dipilih atas kesedaran baginda bahawa cetusan perkara baharu memerlukan masa untuk mendapat pemahaman sebelum dapat diterima dan dihayati,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Baginda bertitah, ummah perlu mengambil iktibar akan pentingnya memiliki sifat sabar dan gigih ketika memperkenalkan sesuatu perkara baharu dan memikirkan pendekatan strategik agar perkara baharu yang mahu diperkenalkan dapat disampaikan secara terang, diterangkan secara jelas dan dijelaskan secara berkesan agar benar-benar difahami sebelum dapat diterima.
Ujar baginda, perkara baharu perlu disampaikan melalui daya komunikasi dan daya penyampaian yang berkesan.
“Manusia memerlukan fahaman yang jelas dan masa yang munasabah sebelum dapat menerima dan menghadamkan sesuatu perkara baharu,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, dalam dunia yang semakin menghadapi konflik dan dilanda perpecahan, strategi digunakan Rasulullah SAW yang pernah menghasilkan kejayaan hendaklah difahami dan diadaptasi untuk menawarkan harapan baharu.
Menurut baginda, dengan mengkaji pendekatan Rasulullah, ummah boleh mendapat pengajaran dan panduan berharga untuk urusan penyelesaian konflik, perundingan, pembangunan masyarakat serta melengkapkan diri menghadapi cabaran semasa.
“Ketika melangkah masuk ke tahun baharu Hijrah 1446, sewajarnya ummah menjadikan panduan dan pedoman pemikiran strategik Rasulullah SAW yang berperanan utama membolehkan syiar Islam berkembang dengan menakjubkan.
“Inisiatif baginda memperkenalkan langkah-langkah inovatif berjaya menyatukan puak-puak yang berselisih menjadi ummah yang bersatu serta kejayaan membentuk nilai kemanusiaan sejagat, wajib dijadikan pegangan oleh pemimpin semasa.
“Kepimpinan baginda hendaklah dijadikan contoh teladan bagaimana kepimpinan yang berwawasan dan hikmah yang abadi berupaya melakukan transformasi meskipun berhadapan pelbagai dugaan, cabaran dan halangan,” titah baginda.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Profesor Madya Dr Ahmad Husni Hasan yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Anugerah itu membolehkan Ahmad Husni menerima wang tunai RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil yang disampaikan baginda.
Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Ar Ridzuan kepada Felo Penyelidik Utama Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud.
Selain itu, beberapa anugerah lain turut disampaikan iaitu Anugerah Saidina Ali (Muhamad Firdaus Kamaruddin) Anugerah Siti Khadijah (Noor Mazlina Noor Shah) dan Ikon Asnaf (Robunah Abdul Basir).
Anugerah Al-Quba Pengurusan Masjid Terbaik pula diterima Masjid An-Naim, Taman Seri Setia, Teluk Intan manakala Anugerah Al-Baqi Pengurusan Tanah Perkuburan Terbaik pula disampaikan kepada Taman Persemadian Islam Seri Manjung.
Pelajar cemerlang Orang Asli yang meraih 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, Fifi Nurfatin Marjaidi Hirwan pula menerima Anugerah Khas. – UTUSAN









