Tak 'jual' nama Najib, lompat parti, Noh selar Mohd. Puad - Utusan Malaysia

Tak ‘jual’ nama Najib, lompat parti, Noh selar Mohd. Puad

Dasar usahawan
NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: “Saya tidak menjual nama beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan bukannya lompat parti apatah lagi mahu menjadi calon kerusi Tanjong Karang.”

Demikian tegas bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang menempelak dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa perkara itu punca beliau menyertai menegaskan kemasukan beliau ke dalam Parti Bersatu.

Menurut bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, isu Titah Adendum Najib antara perkara yang mengecewakan beliau terhadap UMNO.

“Saya sudah lama kecewa dengan UMNO kerana parti itu masih tidak berubah dan dalam isu Adendum ini, Najib terpedaya dengan drama dan wayang daripada rakan-rakan di sekeliling beliau.

“Mustahil Menteri-Menteri UMNO tidak tahu sama ada Adendum itu wujud atau pun tidak,” katanya semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Noh mengesahkan penyertaan beliau sebagai ahli Bersatu berkuat kuasa serta merta selepas membuat permohonan secara atas talian tanpa memberitahu kepada sesiapa Selasa lalu.

Bagaimanapun, Mohd. Puad kemudian mendakwa, kemasukan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dalam Bersatu menjual nama Najib untuk lompat parti dan mahu menjadi calon bagi kerusi Parlimen Tanjong Karang.

Namun Noh menjelaskan, beliau tidak melompat menyertai Bersatu kerana sebelum ini tidak menganggotai parti politik atas nasihat Najib ketika berjumpa bekas Perdana Menteri itu di mahkamah yang memintanya bersabar.

“Justeru, saya bebas memilih mana-mana parti dan menyertai Bersatu kerana wadah perjuangannya adalah orang Melayu seperti UMNO asal yang kini sudah menjadi UMDAP (UMNO-DAP).

“Berkaitan kononnya saya ‘mengidam’ kerusi Parlimen Tanjong Karang, saya sudah ditawarkan menjadi calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor sebelum ini namun menolaknya,” ujarnya.

Malah, beliau turut menyelar Mohd. Puad turut sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ‘low class’ (berkelas rendah’) apabila tidak bertindak secara profesional seperti mana konvensyen di Parlimen Westminster, United Kingdom dengan mencampuri isu-isu politik.

Jelasnya, beliau sebagai Speaker mesti neutral dan impartial, tidak memihak pada mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Noh juga meminta Mohd. Puad menjelaskan sama ada UMNO turut membincangkan isu Titah Adendum dan pembebasan Najib di dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Mana pergi gerakan meminta tanda-tangan sokongan kepada Najib, untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-16? MKT juga pernah buat keputusan untuk pimpinan UMNO menghadap seri paduka baginda untuk membebaskan Bosku.

“Semasa MKT membuat keputusan itu adakah Puad bersetuju ataupun adakah beliau berani cadangkan sepatutnya jangan melibatkan Seri Paduka tetapi sebaliknya pimpinan UMNO hendaklah pergi menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lembaga Pengampunan,” tegasnya.

Justeru, beliau menyifatkan keputusan MKT hanya ‘main wayang’ dan mempersoalkan jika Mohd. Puad turut mengetahui titah adendum oleh Seri Paduka untuk menyambung penahanan Najib di rumah wujud atau tidak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×