ARAU: Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) membuka peluang buat golongan muda menyuarakan isu-isu yang membelenggu mereka bagi mendapat perhatian kerajaan dengan sewajarnya.
Sepanjang lapan destinasi kembara berkenaan, terdapat beberapa isu dibangkitkan golongan muda antaranya seperti soal pendidikan, peluang pekerjaan, gaji dan fasiliti persekitaran mereka.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, kerajaan akan memberi tumpuan terhadap pembinaan ekonomi-ekonomi baharu bagi menampung keperluan golongan muda yang akan menceburi sektor pekerjaan selepas ini.
“Pastinya kita akan bagi tumpuan terhadap apa yang disuarakan menerusi Kembara JOM ini dan mengambil serius terhadap setiap pandangan serta input diberikan oleh golongan muda,” katanya selepas Kembara JOM di Dewan Katreena Nuraniah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Wan Zikri Afthar Ishak.
Menerusi kembara berkenaan, Perlis menjadi destinasi kelapan bagi pelaksanaan program tersebut yang merupakan inisiatif KBS melalui Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN).
Kembara JOM membolehkan pemegang taruh belia menyampaikan maklum balas dan pandangan terhadap draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS.
Mengulas lanjut, Adam berkata, KBS mengharapkan Kembara JOM dapat ditamatkan sebelum bulan September depan bagi membolehkan penumpuan diberikan terhadap penghasilan dasar-dasar berpandukan kepada input dikumpulkan tersebut.
“Kita lihat Perlis ini banyak bercakap tentang peluang pekerjaan dan fasiliti malah pastinya kita akan beri tumpuan terhadap perkara itu,” katanya.
Dalam pada itu, Adam berkata, KBS juga sememangnya memberi penekanan terhadap index kesihatan mental sejak tahun lalu dan terdapat beberapa indikator penting perlu diberi perhatian antaranya melibatkan tekanan rakan sebaya, tekanan pendidikan, keluarga, faktor ekonomi serta pelbagai lagi.
“Indikator-indikator ini juga meyumbang kepada kemerosotan kesihatan mental khususnya buat golongan belia. Kita kena rancang dan hasilkan program-program untuk membawa lebih banyak mesej positif dan beri ruang buat belia memenuhi kehendak serta kerohanian mereka,” katanya.-UTUSAN











