KUALA TERENGGANU: Kecacatan penglihatan tidak menghalang seorang wanita mencari rezeki sebagai penenun songket berbekalkan kemahiran yang dipelajarinya ketika masih remaja.
Gayah Awang, 55, yang juga seorang ibu tunggal berkata, dia mewarisi kemahiran menenun songket itu daripada ibunya dan mula mempelajarinya sejak berusia 12 tahun.
Ibu tunggal kepada empat anak itu berkata, pada usia 15 tahun, tahap penglihatannya mula menjadi kabur dan dia terpaksa memakai cermin mata kerana masalah rabun malam.
“Pada masa sama, saya tetap belajar menenun songket dan menghasilkan pelbagai corak untuk membantu ibu memenuhi permintaan pelanggan.
“Namun, masalah penglihatan saya semakin teruk ketika berusia 22 tahun kerana semakin terhad dan hampir hilang sepenuhnya ketika berusia 35 tahun.
“Meskipun tidak lagi dapat menjalani kehidupan seperti insan normal lain, saya tidak berhenti menenun kerana inilah sumber rezeki saya dalam membesarkan anak selepas suami meninggal dunia 20 tahun yang lalu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di rumahnya di Kampung Pasir Panjang, di sini, semalam.
Ketika ini, Gayah yang mesra disapa sebagai Mok Su bersyukur kerana menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 setiap bulan dan bantuan sara hidup RM1,500 sekali bayar daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Meskipun cacat penglihatan, kemahiran Gayah dalam seni tenunan tidak dapat disangkal apabila dia masih mendapat tempahan daripada pengusaha songket di sekitar Kuala Terengganu.
“Alhamdulillah, pengalaman dan kemahiran hampir 43 tahun dapat membantu saya untuk menghasilkan tenunan yang berkualiti tinggi dan cantik.
“Kebiasaannya, anak bantu menyusun benang serta peralatan yang diperlukan sebelum saya memulakan proses tenunan.
“Ada masanya, dapat juga penglihatan yang samar-samar jika matahari sangat cerah, tapi kebiasaan dunia saya hanya gelap gelita,” katanya yang telah mencuba pelbagai ikhtiar dan rawatan daripada pakar mata sama ada kerajaan serta swasta. – UTUSAN










