“DEKAT pintu, restoran ini ada tulis ‘cashless’, jadi bayar guna wang tunai tidak diterima. Kami bukan sombong tak terima duit kak,” kata seorang juruwang lelaki di sebuah kedai makan di ibu kota, baru-baru ini.
Dia berkata demikian apabila kawan saya itu, terpinga-pinga dan gelabah sekejap apabila pembayaran melalui wang tunai tidak diterima.
Secara spontan, dengan loghat Kedah dia berkata – “Awat ni sombong tak nak duit? Ini QR pay apa dia?”
Hakikatnya ketika ini, banyak restoran dan kedai-kedai makan kecil pun sudah beralih kepada pembayaran secara kod QR atau e-dompet selain debit.
Gerai-gerai tepi jalan jual pisang goreng, keropok lekor atau pada musim jual durian ini pun sudah guna pembayaran tanpa wang tunai. Maknanya, mahu atau tidak, sebagai pelanggan atau pembeli, kita kena akur dan peka dengan perubahan ini. Selain tidak ketinggalan, ia juga memudahkan urusan.
Ini bukan masalah orang tua saja, yang muda pun ada yang masih tidak tahu menggunakan kod QR atau e-dompet ketika membeli barangan atau makanan.
Bukan setakat itu, ada yang masih tidak mempunyai aplikasi perbankan online. Setiap kali hujung bulan, dia akan tanya kawan-kawan sekerja yang ada aplikasi perbankan online, gaji sudah masuk kah? Kalau sudah, dia akan pergi bank beratur di mesin ATM untuk mengambil wang gaji. Pemindahan wang dan segala bil pun dilakukan dengan mesin ATM.
Begitu juga ketika membeli barangan atau makanan melalui Grab atau Foodpanda, dia akan pesan melalui kawan-kawan yang ada aplikasi itu.
Alasan yang selalu digunakan apabila tidak mempunyai aplikasi perbankan online dan aplikasi lain adalah takut duit dalam bank hilang dan kena scam.
Mungkin kebimbangan yang melampau ini, menyebabkan mereka mahu mengekalkan cara lama. Tetapi sampai bila?
Menurut kajian firma penyelidikan pasaran antarabangsa, Ipsos Malaysia, yang bertajuk Ekonomi bukan tunai dan evolusi pembayaran pada Januari lalu, sejak tahun 2021 terdapat trend konsisten pengguna e-dompet yang menggunakan maksimum dua aplikasi berbeza melalui responden warganegara Malaysia yang berusia 18 hingga 74 tahun.
Namun, kekerapan penggunaan meningkat apabila satu perempat daripada mereka menggunakan e-dompet secara harian pada 2023.
Laporan itu juga mendapati, lebih ramai golongan muda melakukan pemindahan wang secara dalam talian dengan 39 peratus golongan berusia 18 hingga 24 tahun menggunakan kemudahan berkenaan dan 45 peratus daripada golongan berusia 25 hingga 34 tahun.
Dalam dapatan tersebut, Touch N Go kekal pada kedudukan utama penggunaan e-dompet secara harian manakala MAE sebagai jenama e-dompet kedua diikuti Shopee Pay, Grab Pay dan Boost.
Secara keseluruhannya, penggunaan e-dompet dalam kalangan rakyat Malaysia dijangka berterusan dan lebih ramai yang akan menerima guna e-dompet sebagai saluran pembayaran utama dalam urusan harian mereka.
Jadi, tak payahlah mahu bertelagah dengan juruwang, kenapa tidak ada bayaran tunai. Tua atau muda, nampaknya kita kena terima sajalah perubahan ini.
Manalah tahu, kelak sistem cashless ini akan mengambil alih seluruh pembayaran di kaunter, macam bayar tol. Kita akan menjadi masyarakat cashless sepenuhnya.
Apa pun yang penting, ada duit. Ada banyak e-dompet pun, tetapi isinya tidak ada, buatlah apa pun evolusi pembayaran, ia tidak membawa sebarang makna.
FACEBOOK UNTUK ORANG TUA?
Tergelak saya mendengar seorang pekerja dalam bidang IT memberitahu saya, bahawa dalam peringkat usia 50 tahun ke atas, aplikasi yang perlu ada dalam telefon pintar adalah Facebook, WhatsApp dan perbankan online saja.
Cukuplah itu. Facebook untuk mengetahui perkembangan kawan-kawan dan berita semasa, WhatsApp untuk berhubung dengan keluarga dan kawan-kawan manakala bank untuk memindahkan wang kepada anak-anak!
Mungkin dalam selorohnya itu, ada betulnya. Buat apalah memuatnaik banyak aplikasi di telefon pintar. Tetapi balik-balik yang dua itu saja dibuka siang malam.
Pun begitu, dengan peningkatan usia, saya rasa media sosial masih lagi relevan untuk mereka mendapatkan maklumat dan berita serta digunakan untuk tujuan yang baik.
Bagaimanapun, jika kita perhatikan Facebook agak kurang digunakan oleh orang muda berbanding platform X atau dulu Twitter, yang kononnya ada kelas yang tersendiri. Saya pun kerap terbaca di X, anak-anak muda menulis – Di sini bukan tempat orang tua. Orang tua main FB sajalah.
Sebab itu, ahli-ahli politik lebih suka masuk ke platform X atau Tiktok untuk mencari sokongan anak muda.
Dan tidak kurang juga generasi muda di X ini mengatakan bahawa FB adalah tempat orang yang suka menipu?
Pun begitu, WhatsApp dan FB adalah dua aplikasi paling banyak digunakan oleh rakyat Malaysia berdasarkan laporan Banci Malaysia 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan. Melalui 24.7 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan lebih, 16 juta orang (64.7 peratus) telah menjawab soalan mengenai akaun media sosial yang mana WhatsApp mempunyai pengguna media sosial tertinggi dengan 86.5 peratus, atau 13.8 juta orang, manakala dua pertiga daripada responden (77.1 peratus; 12.3 juta) melaporkan menggunakan Facebook dan platform X (11.7 peratus;1.9 juta) orang.
Berbalik kepada platform media sosial untuk warga emas, tentunya, kemudahan-kemudahan ini boleh terus dimanfaatkan untuk tujuan-tujuan yang sesuai dengan usia. Mendalami ilmu agama contohnya. Bukan masih terkinja-kinja menari di TikTok untuk menarik perhatian dan tidak habis-habis sembang politik, menghentam itu dan ini. Kita pula letih tengok dan baca.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia










