Memberi nafas sastera dalam sains dan teknologi

Memberi nafas sastera dalam sains dan teknologi

PESERTA dan pemenang bergambar bersama tetamu khas Sayembara Deklamasi Puisi Sains dan Teknologi Peringkat negeri di Gelanggang Seni, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sains dan teknologi harus berkembang seiring dengan sistem nilai. Dalam memajukan sebuah negara tentunya kita membangunkan dengan sains dan teknologi, namun jangan kita lupa tentang sistem nilai untuk diterapkan ke dalam pembangunan sains dan teknologi.

Biasanya seseorang penulis menjadikan puisi sebagai alat untuk melahirkan rasa yang berkaitan dengan emosi, alam dan pelbagai bentuk yang mempunyai tinggi nilainya. Sains dan teknologi tiada nilai emosi dan seni. Sains dan teknologi adalah neutral, namun penulis dan pendeklamator boleh membawa perubahan besar mengembangkan sains dan teknologi melalui puisi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor, sekiranya sains dan teknologi bersendirian ia akan menghasilkan manusia robot yang tiada nilai.

MUHAMAD Elman Amzar Edy Azlan antara pemenang kategori Sekolah Rendah.

“Maka, kerajaan negeri Kelantan telah menumpukan kepada pembangunan insan dan iman. Insya-Allah kita akan melahirkan generasi sains dan teknologi yang mempunyai iman yang teguh dengan amalan agama yang akan menjadikan masyarakat kita lebih amanah dan membawa keberkatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Sayembara Deklamasi Puisi Sains dan Teknologi Peringkat Negeri Kelantan 2024, di Gelanggang Seni, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Beliau melahirkan rasa kagum kerana Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) membawa suatu perubahan dalam pembangunan sastera di negeri ini.

Ini adalah kerana gabungan itu membawa percubaan dengan menggabungkan puisi bersama sains dan teknologi sebagai ekspresi penulis dan pendeklamasi mendapat sambutan dan berjaya.

Majlis anjuran DBPWT dan GEMA dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan itu dihadiri lebih 300 penonton.

Ia merupakan penganjuran kali kedua bagi tema ini yang menggantikan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan yang berlangsung sejak 2001. Peringkat saringan dilakukan secara dalam talian pada 1 Mei hingga 31 Mei 2024.

Penerimaan penyertaan seramai 220 orang di peringkat saringan melalui penghantaran rakaman video deklamasi puisi bagi tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, dan Terbuka adalah merupakan puisi-puisi yang dipilih daripada buku Antologi Puisi Sains dan Teknologi ‘Bagaimana Sekiranya Epal Bertanya’, terbitan GEMA, yang diselenggarakan oleh Tuan Siti Mastazameatun.

Sementara itu Pengarah DBPWT, Ariza Che Ismail, turut menyokong usaha pelestarian deklamasi puisi dalam kalangan generasi pelbagai peringkat di negeri Kelantan pada tahun ini yang berjaya menarik penyertaan pelajar-pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan individu-individu tempatan yang berbakat.

Muhamad Faris Fiqran Muhamad dinobatkan sebagai Johan Kategori Terbuka dengan wang tunai bernilai RM600, diikuti oleh Nik Fateeha Syuhada Imran sebagai naib johan dengan RM450 dan

Mashanis Mohamed di tempat ketiga yang menerima wang tunai RM300, piala dan sijil.
Johan kategori Sekolah Menengah pula sekali lagi dirangkul oleh Naeema Natasya Puteri Mohd. Ghazali dari SMK Pengkalan Chepa yang menerima RM400, piala dan sijil. Naib johan dengan wang tunai sebanyak RM300, dimenangi oleh Sharifah Muzfirah Syed Akmal dari SMKA Naim Lilbanat, Kota Bharu, dan tempat ketiga diraih oleh Nurin Fatma Elzahraa Rosmi dari SMK Panggung Jaya, Gua Musang yang menerima RM200.

Kategori Sekolah Rendah, diungguli oleh Nurul Aimy Insyirah Muhamad dari SK Datu Hashim, Kota Bharu manakala naib johan ialah Muhamad Elman Amzar Edy Azlan dari SK Sultan Ismail Satu dan Sufi Aishah Azwadi dari SK Islah, Kota Bharu di tempat ketiga.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM250, RM200, dan RM150 beserta piala dan sijil.

Peserta dengan jumlah kongsi terbanyak dari Facebook GEMA telah dipilih bagi memenangi Hadiah Khas Juri Awam yang membawa pulang RM100 dan sijil bagi setiap kategori.

Penerimanya ialah Cikgu Lau Lina Lian (Terbuka), Naeema Natasya Puteri Mohd. Ghazali (Sekolah Menengah), dan Vylove Khoo Wern Ai (Sekolah Rendah).

Kehadiran penyanyi rakyat Kelantan, Den Manjo yang popular dengan lagu Bae Soba Bae telah memeriahkan lagi sesi pentas akhir sayembara berkenaan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×