MEKAH: Situasi di Masjidil Haram di sini sepanjang Jumaat tenang tanpa ada sebarang insiden buruk menjelang hari terakhir menurut takwim rasmi 1445 Hijrah.
Puluhan ribu jemaah hadir memenuhi kompleks masjid terbesar di dunia itu ketika cuaca panas dengan suhu mencecah 39 darjah Celsius pada pukul 12 tengah hari.
Mereka tekun mengikuti khutbah disampaikan oleh Sheikh Dr. Maher Hamad Al-Muaiqly yang tidak terlalu panjang sebelum memimpin solat Jumaat.
Walau bagaimanapun, hanya jemaah lelaki yang memakai ihram dibenarkan berada di dataran mataf terbuka selaras arahan dikeluarkan pihak berkuasa bermula 30 Jun lepas.
Langkah ini turut menandakan berakhirnya musim haji 1445 Hijrah dan individu yang tidak memakai ihram perlu melaksanakan pusingan tawaf di aras satu atau bumbung.
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia mendapati, suasana di luar Masjidil Haram masih terkawal dengan anggota polis dan askar Arab Saudi menyelaraskan pergerakan jemaah.
Senario kali ini memperlihatkan tidak ramai petugas keselamatan seperti sebelum wukuf ditempatkan di banyak lokasi strategik bagi mengekang jemaah tanpa memiliki permit haji.
Paling menarik, tiada insiden tunjuk perasaan jemaah Iran setelah negara itu dibenarkan menghantar rakyatnya untuk ibadah umrah awal tahun ini selepas lapan tahun disekat.
Tindakan itu juga disebabkan peringatan tegas kerajaan Arab Saudi yang melarang keras mana-mana jemaah warga asing melakukan aktiviti berbaur sentimen politik di tanah suci.
Meskipun cuaca musim haji kali ini disifatkan paling panas dalam sejarah, Masjidil Haram dijangka menjadi tumpuan untuk pertukaran kiswah atau kelambu Kaabah malam Sabtu.
Acara tahunan itu yang kelaziman dilakukan selepas solat fardu Isyak, turut menandakan secara simbolik peralihan takwim baharu 1446 Hijrah dengan bermula tarikh 1 Muharam.
Sebelum wabak Covid-19 melanda dunia pada 2020, sesi pertukaran itu dibuat selepas solat fardu Subuh pada 9 Zulhijah apabila jemaah haji berada di Arafah untuk wukuf.
Ketika itu, Masjidil Haram tidak sesak dan hanya dipenuhi penduduk tempatan namun acara tradisi ini diubah kepada 1 Muharam agar dapat disaksikan lebih ramai jemaah. – UTUSAN










